UUM raih Anugerah Emas Terulung di Pertandingan Inovasi i-MInD 2024
IPOH: Universiti Utara Malaysia (UUM) sekali lagi mengharumkan nama institusi pendidikan tinggi negara apabila berjaya meraih Anugerah Emas Terulung dalam pertandingan inovasi i-MInD INNOVATION COMPETITION 2024.
Pertandingan ini berlangsung di Hotel Casuarina@Meru dari 22 hingga 25 September lalu dengan penyertaan melibatkan pensyarah, pelajar Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) serta pendidik dari dalam dan luar negara.
i-MInD Innovation adalah platform perkongsian idea inovatif dan kreatif yang memberi tumpuan kepada bidang pengajaran, pembelajaran dan pengurusan pendidikan.
Bertemakan “Membangunkan Minda MADANI Melalui Pendidikan”, pertandingan ini bertujuan mencungkil bakat baharu serta mencetuskan idea-idea inovasi dalam kalangan warga pendidikan.
Pasukan UUM yang diketuai oleh Pensyarah Kanan, Sosiologi Pendidikan dari Pusat Pengajian Pendidikan, Dr. Nazmin Abdullah telah bekerjasama dengan badan bukan kerajaan orang kurang upaya Perlis serta guru pendidikan khas SKPK Perlis dalam menghasilkan inovasi Kit Hidroponik Pestec iaitu set lengkap pendidikan hidroponik khas untuk murid berkeperluan pendidikan khas dan belia OKU.
Menurutnya, kit ini bertujuan melatih golongan tersebut dalam bidang pertanian bandar serta membuka peluang pekerjaan kepada mereka.
“Kit Hidroponik Pestec dilengkapi dengan set rumah hidroponik, modul pembelajaran interaktif, permainan digital serta bahan teraputik yang direka khusus untuk melatih sensori dan keupayaan motor golongan OKU.
“Inovasi ini berjaya menarik perhatian para juri dengan keunikannya yang mampu memperkasakan OKU dalam bidang pertanian serta menyediakan mereka dengan kemahiran praktikal yang relevan,” katanya.
Sebagai ganjaran atas kejayaan yang cemerlang ini, pasukan UUM menerima wang tunai RM1,000, piala kejuaraan, plak penghargaan, serta sijil anugerah, manakala Kolej Matrikulasi Selangor pula meraih tempat kedua dan tempat ketiga dimenangi oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kejayaan ini sekali gus membuktikan komitmen UUM dalam menyokong pendidikan inklusif serta memperkukuhkan peranan institusi pengajian tinggi dalam membentuk minda inovatif dan kreatif, sejajar dengan aspirasi pendidikan MADANI.
Panel penilai terdiri daripada Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh.
Pertandingan i-MInD 2024 bukan sahaja mencungkil bakat baharu, tetapi juga mempromosikan produk pendidikan yang mampu memberi impak besar kepada masyarakat, terutamanya golongan yang memerlukan.