Education

AccelerateHER 1.2 Leadership Lab semarak kredibiliti pemimpin politik

IPOH: Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) telah dipilih menjadi perunding oleh Konrad-Adenauer-Stiftung (KAS) Malaysia bagi menjayakan AccelerateHER 1.2 Leadership Lab.

Ia merupakan fasa kedua bagi program AccelerateHER Leadership Lab, iaitu program pembangunan kemahiran kepemimpinan dalam kalangan ahli politik wanita negara.

Pengarah IPDM, Prof. Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib berkata, program usaha sama seperti ini (industri/agensi-IPDM) perlu diperbanyakkan lagi.

Menurutnya, kolaborasi industri/agensi dan akademik dapat saling melengkapi dalam memenuhi keperluan komuniti di lapangan.

“Wadah seperti ini juga dapat melebarluas impak IPDM dan UUM di lapangan dan melonjak keterlihatan UUM. Program ini adalah satu contoh kolaborasi antarabangsa yang memberi impak kepada pembangunan kepemimpinan wanita.

“Bagi pelaksanaan program ini, pihak KAS dan IPDM telah melantik jurulatih profesional dan bertauliah serta pakar bidang berkaitan media sosial, sains politik dan komunikasi pengucapan awam yang mampu memberikan latihan yang bersepadu, di samping meningkatkan pengetahuan serta memperkemaskan kemahiran kepimpinan peserta,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Projek KAS Malaysia, Simitha Singam berkata, AccelerateHER 1.2 Leadership Lab adalah inisiatif yang didedikasikan untuk meningkatkan kredibiliti kepimpinan wanita dalam politik ke tahap yang lebih memberangsangkan.

Menurutnya, program latihan ini merupakan salah satu anjakan paradigma baharu dalam aspek kepimpinan khusus kepada pemimpin wanita hebat yang menjadi peneraju proses pembuatan keputusan yang melibatkan dasar negara.

“Penyertaan daripada pemimpin-pemimpin wanita dalam latihan kepimpinan ini pasti dapat meningkatkan nilai tambah di dalam pembinaan kapasiti para pemimpin wanita khususnya.

“Melalui latihan kepimpinan seperti ini diharap dapat memperkasakan kemampuan pengucapan awam yang lebih strategik dengan persediaan untuk menghadapi cabaran secara berterusan demi memacu kecemerlangan dalam kepimpinan. Justeru, peluang dan ruang yang lebih luas untuk menjalinkan rangkaian strategik bagi memperkukuhkan hubungan profesional dan memanfaatkan pengaruh secara kolektif boleh direalisasikan dengan cemerlang,” katanya.

Terdahulu, fasa 1 telah berlangsung pada Mei 2024 yang telah menjadi titik mula projek perundingan ini dengan kos keseluruhan program ditanggung oleh pihak KAS.

Program dua hari satu malam ini berlangsung di Hotel Travelodge, Ipoh, Perak pada 25 hingga 26 September yang disertai 24 pemimpin wanita pelbagai parti politik dari Kedah, Perlis dan Perak. – Prof. Madya Dr. Azlina Kamaruddin 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button