Education

Lawatan TISSA-UUM ke JKM bincang kerjasama projek keusahawanan

KUALA LUMPUR: Penyelidik dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) yang diketuai oleh Dekan TISSA, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad telah mengadakan lawatan ke Bahagian Produktif, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membincangkan kerjasama masa depan dalam projek keusahawanan yang bertujuan meningkatkan pendapatan penerima manfaat kepada sekurang-kurangnya RM600 sebulan.

Lawatan ini adalah sebahagian daripada usaha universiti dan industri untuk memperkasakan komuniti dengan memberi peluang kepada golongan B40 dan usahawan kecil, khususnya di kawasan luar bandar dalam meningkatkan sumber pendapatan mereka.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah berkongsi perancangan mereka dalam program latihan kemahiran .

Dr. Ram berkata, perbincangan ini turut merangkumi potensi kolaborasi yang lebih mendalam antara TISSA dan JKM dalam memberi program latihan intensif dalam bidang pengurusan kewangan, pemasaran digital, e-dagang serta bimbingan perniagaan secara berterusan dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program keusahawanan ini.

Menurutnya, objektif utama adalah untuk meningkatkan kebolehan peserta menjual produk mereka melalui platform digital dan memperluas pasaran, sekali gus menjamin peningkatan pendapatan minimum RM600 setiap bulan.

“Dengan modul yang telah dibangunkan oleh perunding TISSA ini memfokuskan kepada motivasi, penggunaan teknologi digital dan pengurusan kewangan asas bagi membantu penerima manfaat,” katanya.

Selain itu, kedua-dua pihak juga berbincang tentang kerjasama dalam beberapa bengkel latihan, antaranya bengkel penyediaan laporan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan bengkel kepimpinan.

Dengan adanya kerjasama ini, kedua-dua pihak berharap dapat membina ekosistem keusahawanan yang lebih mampan bagi penerima manfaat JKM dan menyediakan lebih banyak peluang bagi komuniti untuk meningkatkan taraf hidup mereka.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button