Penyelidik SOE tingkatkan motivasi belajar Matematik murid luar bandar
Gambar Nur Syafiqah Faidzul Hassan
KUBANG PASU: Pasukan penyelidik dari Institute of Excellent Teachers and Leaders in Education (IETLE), Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan program inovasi sosial bagi membantu meningkatkan penguasaan operasi asas dan penyelesaian masalah matematik dalam kalangan murid-murid luar bandar melalui pembelajaran interaktif berasaskan permainan.
Pengarah IETLE, Prof. Madya Dr. Siti Nazuar Sailin selaku ketua penyelidik UUM berkata, program yang dinamakan “iMathKidzPlaygroup” ini dilaksanakan selama enam minggu iaitu pada setiap hari Sabtu dengan enam modul yang telah dirancang khas dengan kaedah pembelajaran berasaskan permainan.
Menurutnya, UUM sangat prihatin dengan isu kemerosotan minat dan pencapaian subjek matematik kerana ia akan menyekat peluang pelajar untuk menceburi bidang sains dan teknologi di masa hadapan.
“Program ini diadakan sebagai intervensi awal dengan mengetengahkan pendekatan pembelajaran interaktif berasaskan permainan bagi meningkatkan minat dan penguasaan matematik murid luar bandar”, katanya.
Modul pertama, “Saya & Math” telah berlangsung baru-baru ini dengan penglibatan hampir 60 murid luar bandar dari Mukim Jeram, Tunjang, Jitra. Sesi bermula dengan soal selidik pra sikap murid terhadap matematik diikuti dengan “ice-breaking” permainan nombor.
Seterusnya, slot motivasi telah disampaikan oleh Profesor Psikologi Pendidikan, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim yang juga Felo Penyelidik Kanan, IETLE.
Dr. Rosna menyentuh tentang pentingnya penguasaan matematik bukan sahaja untuk digunakan dalam kehidupan seharian, malah untuk meningkatkan kemahiran berfikir secara kritis. Dalam slot tersebut juga, beliau telah melaksanakan aktiviti interaktif bersama pelajar dan waris yang berkisar tentang matematik dan kehidupan.
Majlis pembukaan program iMathKidzPlaygroup telah dirasmikan oleh Pengerusi Penglibatan Ibu Bapa Komuniti dan Pihak Swasta (PIBKS) Negeri Kedah, Zainol Abidin Mohamad yang juga merupakan Tokoh Guru Negeri Kedah dan Guru Cemerlang Matematik.
Menurutnya, beliau berasa sangat bangga kerana profesor dan mahasiswa UUM sanggup turun padang untuk membantu anak-anak kampung dalam menangani masalah keciciran matematik dan mengucapkan tahniah serta syabas kepada barisan penyelidik UUM.
Beliau juga berpesan kepada murid-murid supaya sentiasa mendekatkan diri kepada Allah, menjaga solat dan sentiasa membaca Al-Quran kerana ia dapat menjadikan otak lebih cerdas untuk belajar matematik.
Zainol menegaskan kepada ibu bapa supaya mengawal penggunaan gajet anak-anak agar dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran.
Program ini turut disertai oleh dua penyelidik daripada SOE bersama tujuh fasilitator dan sembilan sukarelawan yang terdiri daripada alumni dan pelajar SOE yang merupakan bakal-bakal guru, staf UUM dan ahli komuniti.
Modul kedua akan disambung pada minggu seterusnya bertajuk “Operasi Asas”. – Mohamad Amir Rahman Mohamad Ariffin