Enam pelajar UUM terpilih bagi KPMG Young Star Program 2024
Gambar PPKKG UUM
KUALA LUMPUR: Enam pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA) dan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) telah terpilih untuk menerima biasiswa KPMG Young Star Program 2024 anjuran KPMG Malaysia di Menara KPMG, baru-baru ini.
KPMG Malaysia telah mengadakan sesi temuduga terhadap 49 calon temuduga daripada pelbagai universiti.
Pengarah PPKKG, Dr. Fikriyah Abdullah berkata, program penajaan ini dapat membantu pelajar berpencapaian tinggi daripada latar belakang kurang bernasib baik yang telah mempamerkan pencapaian akademik dan aktif dalam kegiatan kokurikulum di institusi pengajian tinggi terkemuka di Malaysia.
Pada sesi tersebut Irfan Umar Mohd Nor Fazly, Muhammad Haiqal Shith, Muhammad Irfan Najmi Mohamad Yusairi, Nur Azzah Mohamad Puad, Chua Xiao Qing dan Loh Zhi En telah berjaya dan dipilih sebagai penerima biasiswa KPMG Young Star Program 2024.
Biasiswa ini telah menawarkan bantuan kewangan bernilai RM8,000, akses eksklusif kepada inisiatif penglibatan dalaman KPMG, dan peluang pembangunan profesional.
Selain itu, program sebegini dapat memberi peluang pekerjaan kepada pelajar yang terpilih di KPMG sebaik sahaja mereka tamat pengajian. – Anis Zulaikha Kamal