Pertandingan Bintang Asli Remaja martabat seni tradisional
KUANTAN, 22 Disember 2024: Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Pahang menjadi saksi kemeriahan Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2024 yang berlangsung dengan penuh gemilang.
Acara ini berjaya mengetengahkan bakat luar biasa generasi muda dalam seni lagu asli, sekali gus memartabatkan warisan budaya Melayu.
Dalam kategori lelaki, bakat kreatif nyanyian Pusat Budaya dan Seni (PBS), Muhammad Auranzeb Berembi, pelajar Program Sarjana Muda Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif berjaya meraih tempat ketiga.
Auranzeb membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 dan turut dinobatkan sebagai Vokal Terbaik, menerima tambahan RM1,000 sebagai pengiktirafan terhadap mutu vokalnya yang memukau.
Peserta dari Negeri Sembilan dinobatkan sebagai johan, membawa pulang hadiah RM5,000, diikuti tempat kedua oleh wakil Selangor, dengan hadiah wang tunai RM4,000.
Bagi kategori perempuan, Nur Zahirah Zuraimi, pelajar Sarjana Muda Pengurusan Operasi memperoleh tempat keempat dan telah menerima piala iringan sebagai penghargaan terhadap usaha dan persembahannya yang cemerlang.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris.
“Acara ini bukan sahaja menonjolkan bakat seni anak muda tetapi juga menjadi platform penting untuk memelihara dan mempromosikan seni budaya tradisional,” katanya.
Pertandingan Bintang Asli Remaja Kebangsaan 2024 membuktikan bahawa seni lagu asli terus mendapat tempat di hati generasi muda dan menjadi simbol kebanggaan budaya bangsa. – Zunaida Bahadur