Featured News

Serlah potensi, kreativiti, proaktif

SINTOK: Bertemakan Cara Hidup Mahasiswa, Karnival Kebudayaan, Kesenian, dan Keusahawanan (3K) 2023 menjadi platform terbaik yang memberikan pendedahan terbaik serta melahirkan mahasiswa holistik berteraskan inovasi dan digital.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, 3K memfokuskan kesejahteraan belia dan komuniti dalam konsep pembangunan seni dan usahawan. Lebih 30 aktiviti yang melibatkan penyertaan pelajar universiti seluruh Malaysia dan komuniti awam daripada pelbagai peringkat umur dari peringkat nasional dan global.

“Saya berbangga dengan cara mahasiswa menghargai semangat berdaya maju dan bergiat lebih aktif dalam setiap program kebudayaan dan kesenian di dalam dan luar kampus.

“Elemen ‘student empowerment’ diterapkan sepenuhnya memandangkan keseluruhan program 3K dikendalikan oleh Creative Talent Management (CTM) sepenuhnya dengan gabungan 13 badan pelajar kebudayaan,” katanya.

Menurutnya, karnival kali ke-15 ini turut menyokong agenda keusahawanan dengan menerapkan konsep keusahawanan seni menerusi kerjasama Unit Pembangunan Usahawan Kedah, (UPUK) dan Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), pendekatan dengan menawarkan lebih banyak program yang bersifat lintas disiplin seperti industri kreatif dengan keusahawanan digital bagi menghasilkan creativepreneur.

“Eksplorasi bidang creativepreneur di IPT khususnya melalui platform digital dapat mendorong pelajar menjadi lebih proaktif dalam mencari peluang yang membolehkan lebih ramai golongan muda berupaya mencipta produk inovasi dan pekerjaan sendiri dalam bidang seni,” katanya ketika merasmikan Karnival Kebudayaan Kesenian Dan Keusahawanan 3K 2023 dan Malam Anugerah Seni UUM 2022, di Dataran Budaya, PBS, malam tadi.

Ujarnya, universiti menyokong penuh usaha ini apabila bakat dan potensi mahasiswa daripada pelbagai latar budaya, adat dan pemikiran bersatu mengendalikan program yang menjadi platform buat pelajar untuk menggilap kemahiran insaniah dan menonjolkan potensi dalam diri masing-masing.

“Setinggi-tinggi tahniah kepada Pusat Budaya dan Seni (PBS) kerana berjaya menganjurkan karnival 3K dan menempa nama Malaysia menerusi projek UNICAMP sekali gus tersenarai dalam lapan finalis terbaik di pertandingan anugerah The Awards Asia bagi kategori Creativity And Innovation 2022 mengetepikan 700 pencalonan lain,” ujarnya.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan Anugerah Rakan Strategik, Anugerah Mobiliti Staf, Anugerah Citra Mustika Seni, Anugerah Citra Budayawan 2, Anugerah Citra Budayawati, Anugerah Citra Badan Budaya Terbaik.

Sementara itu, Pengarah 3K 2023, Ketua Creative Talent Management, PBS, Mohd Azri Abdullah berkata, karnival ini merupakan dimensi yang lebih segar dan membolehkan mahasiswa dan masyarakat berkongsi ilmu serta pengalaman menerusi aktiviti yang dijalankan.

Karnival yang bermula pada 10 hingga 15 Mei sarat dengan pelbagai aktiviti antaranya forum, penglibatan alumni, bengkel, persembahan kebudayaan dan pertandingan.

Jelasnya, 3K merupakan acara tahunan PBS dan meningkatkan kebitaraannya melalui inovasi alaf baru oleh komuniti mahasiswa seni Creative Talent PBS sebagai tulang belakang penganjuran kali ini sekali gus melahirkan kepimpinan di kalangan mahasiswa.

“Kejayaan PBS akan terus disokong dengan penglibatan pelajar yang mempunyai daya kreativiti dan pemikiran kritis sebagai pengurus seni dan budaya.

“Melalui kerjasama rakan strategik juga telah menjadikan karnival 3K sebagai signature program PBS termasuklah sebagai platform penanda aras mahasiswa holistik serta menjadi wadah yang menghubungkan kepelbagaian budaya, perpaduan bangsa dan etnik, perkongsian ilmu, kemampanan generasi, kelangsungan budaya nilai tinggi,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button