Featured News

Penyelidik hasilkan minuman kesihatan berasaskan buah gac

Sintok – Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) berjaya menghasilkan minuman kesihatan berasaskan buah gac.

Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) yang dijalankan oleh Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik itu telah mencatatkan satu lagi kejayaan apabila kajian beliau mengenai buah gac berjaya dikomersilkan ke dalam industri pembuatan minuman kesihatan.

Buah gac, atau nama saintifiknya Momordica cochinchinensis, dikenali kerana kandungan Lycopene dan Beta-Carotene yang tinggi serta manfaat kesihatannya yang pelbagai terutamanya untuk kesihatan mata.

Penyelidikan Dr. Risyawati menumpukan kepada penghasilan minuman kesihatan yang mampu memberikan pelbagai manfaat kesihatan, termasuk membantu meningkatkan sistem imun, membantu melindungi mata, dan menambahbaik kesihatan kulit.

Setelah menjalankan kajian mendalam ke atas buah gac sejak 2017, Dr. Risyawati berjaya menghasilkan formula unik yang memaksimumkan khasiat ekstrak daripada buah gac tanpa mengorbankan rasa atau kualiti minuman tersebut.

“Produk ini bukan sahaja menawarkan rasa yang sedap tetapi juga berkhasiat yang banyak manfaat untuk kesihatan, menjadi pilihan utama bagi mereka yang mementingkan gaya hidup sihat,” katanya.

Selain daripada inovasi hasil penyelidikan ke atas buah gac, Dr. Risyawati juga telah menghasilkan pelbagai prototaip makanan, minuman, makanan haiwan dan produk kosmetik hasil daripada penyelidikan beliau sejak 6 tahun lalu.

Memenangi pelbagai anugerah sejak 2018, penyelidikan Dr. Risyawati ke atas buah ini turut mengetengahkan inovasi 7 produk kosmetik yang belum dikomersilkan lagi.

Anak kelahiran Dato Kayaman, Perlis ini merupakan pemegang 66 intellectual properties(IP) termasuk 3 paten melalui kerja penyelidikan dan R&D.

Katanya, penyelidikan ini mendapat perhatian daripada pelbagai syarikat dalam industri makanan dan minuman. Sebuah syarikat minuman kesihatan bersedia untuk mengkomersilkan produk ini.

“Pihak industri menyambut baik kolaborasi ini untuk terus bekerjasama dengan para penyelidik dalam mengembangkan produk inovatif berasaskan bahan-bahan semula jadi dan produk ini bakal berada di pasaran tidak lama lagi,” ujarnya.

Rockherbs Industry Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat yang berpusat di Perlis mengkhusus dalam pengilangan dan pemasaran produk kesihatan dan kecantikan berasaskan herba semulajadi.

Didorong oleh visi untuk memperkayakan kehidupan masyarakat dengan menggunakan kekayaan alam semulajadi, Rockherbs Industry memberikan sepenuh komitmen untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi, selamat dan berkesan.

Sementara itu, Dekan STML, Prof. Madya Dr. Mohd Najib berkata, kejayaan ini bukan sahaja membawa nama Dr. Risyawati dan UUM ke persada antarabangsa, tetapi juga memberi inspirasi kepada penyelidik lain untuk terus berusaha dalam bidang R&D.

Komersialisasi produk ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penyelidikan saintifik dalam membangunkan produk yang bermanfaat kepada masyarakat.

“UUM mempunyai kepakaran dan kebolehan untuk melakukan R&D berimpak tinggi bagi membantu pembangunan industri dan komuniti. Kelengkapan makmal R&D di STML mampu menjana prototaip yang berkualiti dan mempunyai potensi besar untuk dikomersilkan,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button