Penyelidikan inovatif Dr Maheera manfaatkan bahan buangan kilang gula untuk komuniti
Oleh: Ts. Dr. Siti Khadijah Hubaidillah
Gambar oleh: Pusat Pengajian Teknologi Maklumat dan Logistik (STML)
SINTOK: Pensyarah kanan, Dr. Maheera Mohamad dari Pusat Pengajian Teknologi Maklumat dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mempelopori penyelidikan revolusioner dengan menggunakan bahan buangan dari kilang pemprosesan gula, MSM Malaysia Holdings Berhad untuk menghasilkan produk yang memberi manfaat kepada komuniti seperti batu bata dan ‘biofeed’.
Penyelidikan ini bukan sahaja selari dengan konsep MADANI yang menekankan kepada nilai-nilai kemanusiaan, kesejahteraan dan kelestarian, tetapi juga menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) seperti kehidupan di darat (SDG 15), kesihatan yang baik dan kesejahteraan (SDG 3), serta inovasi dan infrastruktur yang mampan (SDG 9).
Penyelidikan ini telah meraih beberapa geran dalaman dan industri termasuk Research Generation University Grant, Phase 1 dan geran dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Kedah.
Dr. Maheera aktif menyertai pertandingan inovasi dan projek-projeknya sering mendapat tajaan daripada MSM Malaysia Holdings Berhad. Antara kejayaannya termasuklah memenangi pingat emas dan perak di 5th Sustainability Challenge 2023; pingat emas dan perak di BIOVET Award Hyper Interdisciplinary Conference, serta dua pingat perak di Creativity & Innovative Technology Competition.
Baru-baru ini, Dr. Maheera telah dianugerahkan penghargaan tertinggi dengan Best of the Best Award di International Innovation & Invention Competition 2024 bagi projek “Sustainable Building Solutions: Combining Expanded Polystyrene (EPS) and Sugar Refinery Waste Pressmud from MSM Malaysia Holdings Berhad”.
Projek ini melibatkan kerjasama dengan Prof. Madya Dr. Nurul Azita, Dr. Noraini Ismail dan Dr. Siti Khadijah Hubadillah dari STML serta Rhahimi Jamil dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah, Kulim.
Selain itu, projek inovatif lain beliau iaitu “Turning Pressmud into Biofeed for Eco-friendly Farming Practices” telah memenangi pingat perak. Ahli kumpulan projek ini ialah Vigness Chellamuthu, Fatin Baherah Khusna Yahya, dan Cheng Lay Peng dari MSM Malaysia Holdings Berhad.
Sebagai bukti kejayaan penyelidikan ini, satu meja batu yang diperbuat daripada bata yang dihasilkan dari bahan buangan pemproses gula telah didirikan di STML dan dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MSM Malaysia Holdings Berhad, Syed Feizal Syed Mohammad.
Dr. Maheera juga telah membuktikan keberkesanan biofeed buatannya ke atas tanaman seperti cili, kentang, dan kacang yang menunjukkan pertumbuhan lebih baik berbanding penggunaan baja komersial.
Penyelidikan beliau bukan sahaja membantu industri menyelesaikan masalah bahan buangan mereka, tetapi juga menyumbang kepada komuniti, khususnya dalam sektor pertanian dan pembinaan.
Di tengah-tengah isu global mengenai kelestarian dan pengurusan sisa buangan, inovasi Dr. Maheera dalam memanfaatkan bahan buangan untuk kebaikan komuniti ini mencerminkan komitmen UUM terhadap penyelidikan berimpak tinggi dan kelestarian. Kejayaan ini juga menunjukkan bagaimana penyelidikan akademik dapat memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi oleh masyarakat dan industri hari ini.