KOMPaS lancar tiga produk tangani keciciran murid
SINTOK – Hasil penyelidikan selama tiga tahun program penyelidikan Komitmen Kedah Mendidik Pelajar Sukses (KOMPaS) Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Yayasan Sime Darby dan Kerajaan Negeri Kedah berjaya memperkenalkan tiga produk dalam usaha menangani masalah murid berisiko tercicir dari persekolahan.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, produk yang dinamakan polisi eSEDAR, modul intervensi i-MOVE dan aplikasi pengesanan pintar MyBUDDY dapat membantu pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), serta kerajaan negeri dalam menangani masalah tersebut.
Selain itu, ia juga diharapkan dapat memberi impak langsung kepada kemenjadian insan dan meningkatkan kualiti pendidikan di negeri Kedah dan negara secara keseluruhan.
“KOMPaS ialah satu usaha penyelidikan yang dilaksanakan oleh UUM dengan kerjasama rakan strategik iaitu Yayasan Sime Darby (YSD), Kerajaan Negeri Kedah dan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dalam mengangkat agenda akademia untuk pembangunan komuniti.
“KOMPaS merupakan sebuah program berimpak tinggi dan bersepadu iaitu agenda utama adalah untuk mengurangkan risiko murid tercicir dan membantu murid-murid menamatkan pendidikan menengah dengan mendapatkan sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Jelasnya, program KOMPaS berjaya menterjemahkan idea kerjasama berasaskan model “Quadruple Helix” iaitu interaksi kerjasama antara pihak Kerajaan, Universiti, Industri dan Komuniti bagi memberi nilai tambah kepada pembangunan komuniti sasaran secara keseluruhannya.
“Aktiviti yang dianjurkan telah terbukti dapat memupuk semangat dan keazaman diri murid-murid yang diuruskan oleh sekumpulan mahasiswa UUM yang dikenali sebagai Duta KOMPaS yang memberikan pengalaman serta memberikan nilai empati.
“Pihak komuniti setempat seperti di daerah Kubang Pasu, Baling dan Langkawi juga telah diberikan penerangan secara terperinci mengenai hasil dapatan ketiga-tiga projek ini serta saranan yang bersesuaian bagi meningkatkan keterlibatan masyarakat setempat.
“Syabas dan tahniah kepada penyelidik, yang diketuai oleh Prof. Dr. Rosna Awang Hashim, murid-murid Permata KOMPaS, pegawai Jabatan Pendikan Negeri, guru, dan juga duta KOMPaS UUM. Usaha ini adalah manifestasi kejayaan ke arah memartabatkan pendidikan untuk semua,” ucapnya pada Majlis Perasmian Program KOMPaS di Dewan Seminar A, Pusat Konvensyen, UUM, pagi tadi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Sime Darby, Dr. Yatela Zainal Abidin, majlis seumpama ini menjadi penanda aras kepada kejayaan yang dipelopori UUM berdasarkan kajian saintifik.
Bermula dengan impak positif yang telah berjaya memberikan peluang kedua kepada pelajar berisiko keciciran menerusi projek rintis di enam buah sekolah peringkat daerah, beliau berharap agar impak ini dapat diperluaskan ke semua sekolah di seluruh negeri Kedah seterusnya berkembang ke seluruh negara.
Beliau menyifatkan usaha ini merupakan kerjasama strategik dan sejajar dengan matlamat YSD untuk meningkatkan akses kepada pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkualiti dan inklusif serta memastikan tiada lagi pelajar ketinggalan dalam pendidikan.
“Seramai 157 daripada 180 pelajar yang terpilih dalam program KOMPaS selama tiga tahun telah berjaya layak untuk memperoleh SPM 2023. Ini merupakan impak terbesar dan kami berharap program ini akan diperluaskan demi membina masa depan lebih gemilang untuk anak-anak kita,” katanya.
Katanya, Yayasan Sime Darby komited dalam membantu sektor pendidikan. Pelbagai projek pendidikan telah dilaksanakan oleh YSD bersama institusi pengajian tinggi, NGO, guru dan masyarakat bagi membantu anak-anak Malaysia memperoleh pendidikan yang sempurna.
KOMPaS adalah salah satu inisiatif bersama YSD yang mempamerkan impak yang tinggi dengan kejayaan membantu anak-anak berisiko tercicir yang telah dikenal pasti sehingga mereka berjaya melalui persekolah hingga tamat tingkatan lima dan lebih membanggakan layak memperoleh sijil SPM.
Sementara itu, Ketua Program Penyelidikan KOMPaS Merangkap Ketua Projek 1 KOMPaS UUM, Prof. Dr. Rosna Awang Hashim memandang serius isu keciciran murid.
Katanya, isu murid berisiko tercicir adalah adalah perkara penting untuk diselesakan dalam persekitaran pendidikan.
“Usaha untuk menyelamatkan murid berisiko tercicir diperkemaskan dengan integrasi pengetahuan dalam bidang psikologi pendidikan, komunikasi dan pengkomputeran seperti dilaksanakan melalui program KOMPaS. Usaha ini adalah wajar untuk kesejahteraan masyarakat dan negara.
“Mereka perlu diselamatkan daripada terus hilang dari dunia pendidikan jika isu ini tidak ditangani akan mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit pada negara khususnya negeri Kedah.
“Sekiranya tidak ditangani, ia akan mengakibatkan peningkatan kadar jenayah, kemiskinan dan ketidakseimbangan sosial. Justeru, tindakan menyelamatkan mereka bukan sekadar pelaburan pendidikan tetapi juga pelaburan masa depan masyarakat dan negara,” ujarnya.
Menurutnya Program KOMPaS juga merupakan platform yang mengintegrasi tiga bidang kepakaran di UUM, iaitu Psikologi Pendidikan, Komunikasi, dan Pengkomputeran.
Projek pertama pasukan kerja KOMPaS telah berjaya menghasilkan polisi eSEDAR bagi membantu pihak kerajaan negeri, pemegang taruh dan agensi terlibat dalam menggembleng usaha ke arah memperkasa agenda pendidikan di Kedah dan Malaysia secara keseluruhannya.
Projek kedua, yang berfokuskan kepada intervensi, diketuai oleh Prof. Dr. Norhafezah Yusof dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, berjaya menghasilkan modul i-MOVE, iaitu Modul Intervensi Komunikasi Berkesan yang dibangunkan untuk meningkatkan motivasi murid dengan pendekatan strategi komunikasi yang relevan. Modul ini bersifat interaktif dan fleksible serta mampu menarik minat pelajar untuk hadir ke sekolah berdasarkan maklumbalas dari guru bimbingan dan kaunseling dan murid yang bersama penyelidik dalam program KOMPaS.
Manakala, projek ketiga yang berteraskan pengkomputeran, yang diketuai oleh Prof. Madya Noraziah Che Pa dari Pusat Pengajian Pengkomputeran telah membangunkan aplikasi MyBuddy, satu perisian yang menggunakan teknologi kepintaran buatan (AI) sebagai kaedah analisis corak untuk mengenal pasti pelajar yang berisiko cicir untuk diberikan intervensi yang sesuai. Dengan memanfaatkan teknologi AI, MyBuddy bukan sahaja meramalkan kemungkinan tahap keciciran tetapi juga menyediakan maklumat secara langsung kepada pihak berwajib tentang murid yang berisiko cicir menggunakan penanda aras yang telah dikenalpasti.