Prof. Norazah diiktiraf antara saintis terbaik dunia
KUALA LUMPUR – Prof. Ts. Dr. Norazah Mohd Suki terus disenaraikan antara “World’s Top 2% Scientists” atau dua peratus saintis terbaik dunia oleh Stanford University dan Elsevier, Amerika Syarikat sejak 2019.
Senarai ‘World’s Top 2% Scientists’ edisi terkini merangkumi 223,154 penyelidik dari seluruh dunia dalam Kategori Impak Berdasarkan Tahun 2023.
Daripada jumlah tersebut, Profesor Pemasaran dan E-Niaga di Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) ini, berada di kedudukan 5,216 saintis terbaik dunia. Beliau turut menerima pengiktirafan di bawah Kategori Impak Sepanjang Kerjaya.
Seramai 769 penyelidik dalam Kategori Impak Berdasarkan Tahun 2023 adalah dari Malaysia, menyaksikan Norazah menduduki tangga teratas dalam sub-bidang pemasaran.
“Alhamdulillah, saya amat bersyukur diiktiraf sebagai salah seorang daripada ‘World’s Top 2% Scientists 2023’. Kecemerlangan ini dicapai melalui ketekunan, kerja keras, dan komitmen terhadap penyelidikan dan penerbitan dalam jurnal berimpak tinggi.
“Saya amat menghargai pengiktirafan ini terhadap sumbangan penyelidikan saya dalam bidang pemasaran dan e-dagang. Saya optimis bahawa pencapaian ini akan membuka lebih banyak peluang kolaborasi dan jaringan antarabangsa,” ujarnya.
Penarafan ini mengambil kira pelbagai metrik prestasi akademik antarabangsa yang komprehensif, termasuk bilangan penerbitan berimpak tinggi, faktor impak jurnal, jumlah sitasi, dan h-indeks penyelidik.
Beliau menghasilkan lebih 300 kertas penyelidikan, dengan SCOPUS h-indeksnya sebanyak 35 sekali gus mencerminkan impak penyelidikan berkualiti tinggi.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Foad Sakdan menyifatkan pengiktirafan berprestij ini mengukuhkan kedudukan UUM di peta global kecemerlangan penyelidikan saintifik, sekali gus mengharumkan nama universiti dan negara di persada antarabangsa.
Beliau menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah di atas pencapaian cemerlang ini yang menjulang nama UUM ke persada global.
“Saya yakin pencapaian luar biasa ini dapat memotivasi seluruh warga akademik UUM untuk komited bertekad melaksanakan kerja berprestasi tinggi.
“Saya amat berbangga, pengiktirafan di peringkat global ini meningkatkan reputasi UUM, serta membuka peluang untuk memperkukuhkan kedudukan universiti di arena antarabangsa,” ujarnya.