Featured News

Sabda junjungan jadi inspirasi kejayaan

SINTOK, 11 November 2024 – Hadis nabi menjadi inspirasi kepada penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Muhammad Shuib Rosli yang merangkul kejayaan paling manis penuh bersejarah pada Majlis Konvokesyen UUM Ke-37, di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Undang-undang, dan Perniagaan berkata, menuntut ilmu merupakan kewajipan bagi setiap umat kerana ilmu merupakan kayu ukur dalam kehidupan untuk menentukan baik buruk sesuatu perkara.

Anak kelahiran, Kulim Kedah ini mengakui terinspirasi oleh hadis Nabi Muhammad SAW yang membicarakan soal ilmu dan kepentingan menuntutnya sekali gus membakar semangatnya untuk tekun berusaha menggapai kecemerlangan yang diidamkan.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya”.

Menurutnya, kemanisan ilmu akan berkekalan berbanding pahitnya kejahilan. Mereka yang ingin mendapat imbalan dunia dan akhirat mestilah menjadi seseorang yang berilmu.

“Sebagai umat Islam kita dididik supaya jangan risau soal rezeki dan yang patut dirisaukan adalah layak atau tidak diri kita menerimanya justeru, saya sentiasa berusaha memperbaik diri hari demi hari,” ujarnya.

Mengulas lanjut petua kejayaannya, beliau belajar secara kendiri dan belajar melalui kesilapan.

“Jika soal teknik pula, saya akan belajar berkumpulan dengan kawan-kawan misalnya bagi menguatkan ingatan, kami akan menjelaskan kandungan kursus secara bergilir antara satu sama lain selain membaca ‘slides’ subjek sebelum dan selepas kelas. Setelah itu, saya akan menulis nota ringkas bagi setiap subjek untuk dibaca semula,” ujarnya.

Kemahiran kepimpinan dan pengurusan organisasi cukup terserlah apabila beliau berjaya menganjurkan program berimpak tinggi seperti Mawlid Month Fiesta, Quran Hour dan Wacana Intelektual.

Kini, beliau bertugas sebagai Felo Penyelidik di Pusat Kajian Irfan (TRADISI), sebuah badan pemikir yang berfokuskan penyelidikan dan pelaksanaan program berkaitan Falsafah Islam di samping aktif dalam aktiviti terjemahan yang dikelolakan oleh Biblio Press dengan menterjemahkan buku falsafah, psikologi, dan politik daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu.

Selain beliau, graduan Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa Emina Kulasic Bong Ei Min turut menerima anugerah sama serta graduan Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia, Nur Eina Athirah Norazman menerima Anugerah Pingat Emas Canselor.

Emina Kulasic Bong Ei Min pelajar cemerlang yang aktif dalam aktiviti persatuan, kemasyarakatan, pengurusan majlis dan organisasi yang memberikan pengalaman berharga.

Antaranya menjadi Setiausaha Agung Majlis Perwakilan Pelajar 2022/2023, Bendahari Kelab Patriot Chapter Sarawak 2021/2022, dan Exco Kelab Model Bangsa-Bangsa Bersatu.

Prestasi kepimpinan beliau yang cemerlang telah diiktiraf dengan beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah “Most Diplomatic Minister” dalam ASEAN Foundation Model ASEAN Meeting yang berlangsung di Siem Reap, Kemboja.

“Saya amat meminati bidang pengajian Hal Ehwal Antarabangsa oleh itu semua perkara yang dipelajari menjadi mudah.

“Saya ingin meneruskan pengajian di luar negara untuk menguatkan lagi pengetahuan dalam bidang tersebut demi mengejar impian menjadi seorang diplomat yang berjaya,” ujarnya.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button