Featured News

UUM lancar sudut sasterawan negara, ketengah karya sasterawan negara

SINTOK, 19 November 2024: Universiti Utara Malaysia (UUM) melancarkan Sudut Sasterawan Negara bagi menyuburkan rasa cinta kepada sastera tempatan terutama di kalangan mahasiswa, di Perpustakaan Sultanah Bahiyah, semalam.

Anugerah Sasterawan Negara Malaysia merupakan anugerah yang diberikan kepada mereka yang menyumbang dalam bidang sastera bahasa Melayu di Malaysia. Anugerah seumpama ini yang pertama telah diadakan pada tahun 1981 dan pemenangnya adalah Keris Mas atau (Dr) Kamaludin Muhammad.

Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, sastera mempunyai peranan yang amat penting dalam mencerminkan budaya, nilai, dan identiti sesuatu bangsa.

“Siapa yang tidak kenal sasterawan negara, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad, Dato’ Seri Dr. A. Samad Said, Dato’ Dr. Zurinah Hassan dan Dato’ Dr. Usman Awang yang mewarnakan dunia sastera.

“Mereka menghasilkan karya yang tidak hanya menggambarkan keindahan bahasa dan seni penulisan, tetapi juga menyuarakan isu kemanusiaan, sosial, dan politik yang relevan sepanjang zaman.

“Usaha dan pengorbanan ikon dunia sastera perlu terus diangkat misalnya Perpustakaan Sultanah Bahiyah mewujudkan Sudut Sasterawan Negara untuk mengangkat dan mengabadikan karya-karya dan memberi satu pengiktirafan kepada sasterawan,” ucapnya ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Sudut Sasterawan Negara.

Katanya, perpustakaan turut berperanan sebagai nadi perkembangan dan kelangsungan dunia sastera.

“Jadi inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk mengenang jasa dan pengorbanan mereka, tetapi juga untuk memberikan inspirasi kepada generasi muda dan pencinta sastera agar terus menghargai dan meneruskan legasi yang   ditinggalkan selain menyemarakkan kempen budaya membaca di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“Tabiat membaca rakyat Malaysia masih rendah berbanding negara di Asean justeru saya menyambut baik usaha yang disifatkan suatu langkah supaya tabiat membaca menjadi amalan pelajar kita,” ujarnya.

Beliau melihat Sudut Sasterawan Negara dapat menjadi pusat rujukan dan kajian bagi para pelajar, penyelidik, dan peminat sastera untuk mendalami karya   sasterawan negara dengan lebih mendalam.

“Saya juga amat berharap agar usaha ini dapat dimanfaatkan serta menjadi lambang penghargaan kita kepada sasterawan yang telah berjuang dan berkarya tanpa mengenal lelah demi mengangkat martabat sastera Melayu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pustakawan, Prof. Dr. Che Azlan Taib berkata, kesusasteraan   tidak dapat dipisahkan dengan manusia dan masyarakat, di mana peranan utama sastera ialah membina insaniah dalam kehidupan manusia.

“Dalam konteks pendidikan menengah, mata pelajaran Kesusasteraan Melayu mula diperkenal pada 1957. Matlamatnya adalah untuk membolehkan pelajar menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan.

“Dalam masyarakat berasaskan sains dan teknologi seperti sekarang ini, kehadiran sastera sangat bererti. Tanpa sastera, masyarakat maju kehilangan unsur penting kehidupannya,” ujarnya.

Memetik Berita Harian Online bertarikh 30 Mei 2023, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bimbang dengan sikap sebilangan Pelajar yang tidak berminat   mendalami sastera, bahasa dan budaya terutama karya tokoh tempatan.

Justeru katanya langkah memperkenalkan Sasterawan Negara di universiti merupakan salah satu inisiatif awal bagi menyuburkan rasa cinta kepada sastera tempatan terutama di kalangan mahasiswa universiti.

“Penganjuran majlis ini amat bermakna sebagai inisiatif untuk memartabat dan mengetengah karya tokoh sasterawan negara agar dapat   meningkatkan kesedaran dan memupuk minat warga kampus terutamanya mahasiswa dalam bidang kesusasteraan.

“Saya berharap Sudut Sasterawan Negara yang mempunyai 340 bahan bakal menjadi tempat tumpuan warga universiti dan masyarakat sekitar mendalami karya serta pemikiran Sasterawan Negara melalui sokongan semua pihak,” katanya.

Beliau menyeru warga kampus menjadikan sudut ini sebagai platform untuk berdiskusi ilmu dan memperkembangkan lagi nilai murni yang ada dalam karya sastera ini ke peringkat yang lebih tinggi.

Semoga Perpustakaan Sultanah Bahiyah akan menjadi pusat sumber sastera yang menyediakan akses kepada pelbagai karya sastera yang berkualiti yang membuka peluang pelajar untuk meneroka dan menikmati dunia sastera dengan lebih mendalam.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button