CampusEducationFeatured NewsGeneralLifestyleOff Campus

OUTREACH PROMOSI PELUANG PENDIDIKAN

Lebih 500 pelajar dari 16 buah sekolah menengah sekitar daerah Baling memeriahkan Program Outreach Bersasar Tahun 2022/2023 Orang Asli dan Golongan B40.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Shahimi Mohtar yang menjalankan fungsi Naib Canselor berkata, matlamat program ini adalah mempromosi dan menyebarluas peluang pendidikan tinggi ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) serta kemudahan pembiayaan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan.

Jelasnya, sebagaimana seruan Menteri Pendidikan Tinggi dalam Amanat Tahun Baru,  peranan IPTA adalah untuk menyebarkan ilmu, mematangkan pemikiran, memimpin kedewasaan dan mencari kebenaran hakiki.

“Dalam konteks program Outreach Bersasar yang berfokuskan kepada komuniti orang asli dan golongan B40 ini, Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia telah berusaha untuk mempelbagaikan aktiviti promosi dan perkongsian ilmu berkaitan kemasukan ke IPTA yang secara tidak langsung memfokuskan kepada agenda pembangunan modal insan melalui program yang dilaksanakan khusus untuk komuniti setempat,” ucapnya di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak.

Menurutnya, Program Outreach Bersasar ini telah dirancang sejak tahun 2022 oleh pihak BKPA, JPT dan UUM telah menjadi tuan rumah bagi Zon Utara.

“Syabas dan tahniah kepada Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Negeri Kedah (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah Baling, IPTA serta Agensi Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia (KPT) yang hadir atas sokongan dalam menganjurkan program ini.

“Saya amat berharap program ini akan menjadi titik permulaan bagi agenda pembangunan modal insan di Negeri Kedah khususnya masyarakat di kawasan luar bandar,” katanya.

Jelasnya, program ini menjadi platform dalam menyampaikan maklumat kepada pemohon dan masyarakat di Baling mengenai Kemasukan ke IPTA.

“Program ini juga dapat membantu kerajaan negeri dalam mengurangkan kadar keciciran pendidikan dalam kalangan pelajar orang asli dan B40 serta membantu pelajar dan guru di sekolah dalam pelbagai perkara terutama dalam aspek akademik, pembangunan diri dan kemahiran insaniah.

“Saya percaya bahawa UUM selaku sebuah universiti awam tempatan di Negeri Kedah telah banyak melaksanakan pelbagai aktiviti pembangunan meliputi pelbagai lapisan masyarakat. UUM akan terus memberi khidmat terbaik serta menyumbang kepada rakyat Kedah,”  ucapnya ketika merasmikan program, baru-baru ini.  

Selain itu katanya, para guru juga memainkan peranan penting untuk menyempurnakan akhlak pelajar serta membentuk insan seimbang dan berperibadi unggul begitu juga sekolah yang menjadi medan asuhan akhlak dan sahsiah murid yang sempurna.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button