Ketua Polis Negara lantik NC UUM sebagai Komandan SUKSIS
Oleh Kori Ariff
Gambar oleh Mohd Fuad Hamid
UUM ONLINE: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain melantik Naib Canselor UUM, Prof Dato’ Dr Mohd Foad Sakdan sebagai Komandan Kor Sukarelewan Polis Siswa Siswi (Kor Suksis) UUM, berkuat kuasa 25 Julai 2024.
Dalam watikah ditandatangani KPN, pelantikan itu dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Polis 1967.
Serentak itu, Dr Mohd Foad diberikan pangkat Asisten Komisional Polis Kor Suksis (ACP/KS).
Petang semalam, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kedah, SAC Kamaruzaman Elias menyerahkan watikah pelantikan berkenaan di Pejabat Naib Canselor.
Sambil mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dr Mohd Foad, Kamaruzaman mengharapkan Naib Canselor dapat memainkan peranan untuk meningkatkan lagi kecemerlangan Kor Suksis di UUM.
“Saya merasa amat bangga kerana Prof Dato’ telah menunjukkan komitmen dan dedikasi sepenuhnya terhadap tugas dan tanggungjawab sepanjang perkhidmatan sebagai Naib Canselor sehingga dilantik oleh Ketua Polis Negara sebagai Komandan Kor Suksis.
“Semoga pelantikan ini akan memberikan inspirasi kepada pegawai lain agar terus memberikan komitmen yang tinggi dalam tugas dan berusaha gigih dalam memikul amanah dan tanggungjawab,” katanya.