Ismail Sabri berjaya pertahan cadangan tesis PhD
Mantan Perdana Menteri Ke-9, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berjaya mempertahankan cadangan tesis Doktor Falsafah (PhD) beliau di Universiti Utara Malaysia (UUM).
Tajuk tesis beliau selaras dengan pengalamannya sebagai Perdana Menteri ketika berhadapan pandemik yang melanda negara iaitu Model Polisi Mendepani Pandemik Ancaman Keselamatan Kesihatan: Kajian Kes Covid-19 di Malaysia (2020-2022).
Sesi mempertahankan tesis PhD di Bilik Viva Ghazali Shafie Graduate School of Government (GSGSG) UUM dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Kamarul Azman Khamis, manakala pemeriksanya ialah Prof. Madya Dr. Nazariah Osman dan Dr. Mohammad Fajar Ikhsan.
Dekan GSGSG, Prof. Dr. Rusdi Omar, Prof. Madya Ts Dr. Jessica Ong Hai Liaw dan Prof. Madya Dr. Che Mohd Aziz Yaacob menjadi penyelia kepada Ismail Sabri dalam menyiapkan tesis PhD beliau.
Sebelum itu, Ismail Sabri membuat kunjungan hormat kepada Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan di Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin. – Kori Ariff/UUM Today