General

UM juara Debat Pengurusan Edisi 2024

SINTOK: Pasukan Debat Universiti Malaya (UM) kumpulan B menjuarai Pertandingan Debat Pengurusan Edisi 2024 yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), semalam.

Membawa usul “Pelaksanaan E-Invois Membuka Gerbang Manipulasi Audit”, mereka berjaya mengetepikan pendebat dari Multimedia University (MMU).

Kemenangan itu membolehkan UM membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM2,000 berserta piala pusingan, piala iringan dan sijil.

Kegembiraan berganda apabila pendebat UM B, Ali Hydar turut menerima Anugerah Pendebat Terbaik Pusingan Akhir dan pendebat UM A, Khairul Nur Ayuni menerima Anugerah Pendebat Terbaik keseluruhan yang membawa pulang wang tunai RM 200 sijil dan piala iringan.

MMU sebagai Naib Johan membawa pulang wang tunai bernilai RM1,500, sijil dan piala iringan.

UUM dan UM kumpulan A telah memenangi tempat ketiga bersama bagi menang mara separuh akhir yang membawa pulang wang tunai RM500, sijil dan piala iringan.

UUM juga turut menerima Anugerah Juara Liga pusingan awal (4 pusingan awal).

Debat yang berlangsung dari 16 hingga 18 Ogos itu membabitkan 28 pasukan dari universiti awam.

Pertandingan ini merupakan anjuran Kelab Pengucapan Awam (UCAP) UUM dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Pelajar (SELECT), Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan rakan strategik, Majlis Debat Universiti Malaysia (MADUM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Turut menaja adalah Yayasan Perkasa Siswa, Kementerian Pendidikan Tinggi dan KEDB Waste Management.

Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab, Penolong Naib Canselor UUM COLGIS mewakili Naib Canselor UUM.

Hadir sama, Setiausaha MADUM, Prof. Madya Ts. Dr. Suliadi Firdaus Sufahani; Dekan Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Dr. Massudi Mahmuddin dan Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Fauzilahyatun Mustafa. – Siti Fatimah Abdullah

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button