General

Warga UUM diingat kekalkan momentum, tingkatkan prestasi kecemerlangan

SINTOK: Warga Universiti Utara Malaysia (UUM) diingatkan agar terus mengekalkan momentum prestasi serta mempertingkatkan usaha demi memastikan kelestarian pembangunan universiti.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Kementerian Pendidikan Tinggi, Dato’ Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata, pengiktirafan anugerah cemerlang ini merupakan apresiasi kepada komitmen dan kecemerlangan yang telah ditunjukkan penerima, sekali gus mencetuskan inspirasi kepada rakan-rakan sejawat lain untuk turut sama meningkatkan prestasi dan budaya kecemerlangan.

Dr. Megat Sany yang Menjalankan Fungsi Pengerusi Lembaga Pengarah UUM mahukan warga UUM sentiasa berfikir ke hadapan bagi mencipta peluang dan ruang baharu dalam melakar pencapaian yang lebih baik agar UUM sentiasa progresif dan dinamik seiring arus kemajuan perdana.

Justeru, beliau mengajak warga UUM menghayati Nilai Bersama yang perlu diterapkan selaku penjawat awam iaitu profesional dan berkemampuan untuk melaksanakan tugas; responsif secara komunikasi berkesan dalam memberikan maklumat kepada rakyat; memelihara integriti dan akauntabiliti semasa melaksanakan tugas yang diamanahkan; mempunyai semangat kerja berpasukan dan akhir sekali berinovasi dalam merealisasikan suatu idea kepada penghasilan output lebih baik dan efektif.

“Menjadi kewajipan kepada kita semua untuk mengamalkan nilai-nilai tersebut dan meningkatkan ilmu pengetahuan, memperkasakan kepakaran, inovatif dan kreatif.

“Marilah kita membulatkan tekad untuk konsisten dalam memberi yang terbaik melalui amalan budaya yang cemerlang, amanah dan berintegriti. Bersama-samalah kita menggembleng tenaga menjadi warga UUM yang cemerlang untuk memastikan UUM gah bukan sahaja di persada nasional malahan di peringkat global,” katanya di Majlis Hari Inovasi Dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU) 2024 di Dewan Sri Angsana, EDC-UUM, hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, seramai 344 warga UUM yang telah mempamerkan prestasi kerja cemerlang sepanjang tahun 2023.

Penerima terdiri daripada 217 penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), 14 penerima Anugerah Penjawat Cemerlang, 67 penerima Anugerah Khidmat Bakti (AKB), 11 penerima Anugerah Taat Setia (ATS) dan 35 penerima bagi Anugerah Penyelidikan, Penerbitan, Pengajaran dan Pembelajaran, Inovasi dan Kualiti (APIQ).

Katanya, pengiktirafan yang diberikan ini merupakan satu penegasan bahawa UUM mementingkan kecemerlangan dan prestasi yang baik.

“Ini adalah satu penzahiran penghargaan oleh pihak universiti kepada semua yang telah mempamerkan komitmen, disiplin serta kesungguhan dalam melunaskan amanah yang diberikan.

“Diharapkan semua memberikan yang terbaik dan bekerja bersama-sama untuk universiti, bangsa, agama dan negara dalam meningkatkan kecemerlangan dalam khidmat masing-masing,” katanya.

Pada majlis tersebut, turut diadakan penyampaian cek cura daripada Rock Herbs Industry Sdn Bhd bernilai RM40,000 kepada UUM bagi pengkomersialan produk inovasi Gac Eye Essence dan Gac Health Juice oleh Prof. Madya Dr. Risyawati Mohamed Ismail dari STML.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button