General

ICSC 2024 ketengah isu kecerdasan buatan (AI) dan kajian kes

ALOR SETAR: International Case Study Congress (ICSC) 2024 selama tiga hari yang membawa tema ‘AI And The Future Of Leadership Development: Navigating Transformative Management Strategies’ berjaya melibatkan 30 pembentang dan 10 peserta dari sektor tempatan dan antarabangsa yang mewakili sektor pendidikan dan industri.

Majlis penutup yang berlangsung semalam di Hotel Raia turut meraikan pemenang bagi tujuh kategori iaitu Business Case Competition, Best Teaching Case, Best Research Case, Best Presenter, Best Selling Case, Best Case Teacher dan Outstanding To The Case Method.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail berkata, tema ICSC 2024 sangat relevan dengan zaman sekarang di mana manusia kini hidup dalam dunia teknologi AI.

Menurutnya, kecerdasan buatan (AI) sudah tidak asing lagi dalam kehidupan harian, malah berkembang pesat di seluruh dunia yang memberi transformasi kepada industri, ekonomi, politik dan sosial.

Katanya, seramai tujuh tokoh terkemuka dari kalangan akademia dan industri telah berkongsi pengalaman mereka, khususnya dalam bidang AI dan kajian kes.

“Saya juga ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pembentang yang berkongsi kajian kes dan penyelidikan mereka,” katanya.

Hari pertama, ucap tama oleh Pengarah Urusan Epic Valley, Prof. Tan Sri Dr. Fng Ah Seng yang juga Profesor Adjung di Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) dengan tajuk ‘Disruptive Innovation in Leadership’, diikuti Pengarah Centre for Management Practice at Singapore Management University, Prof. Madya Dr. Havovi Joshi bertajuk ‘Role of AI in Case Studies’.

Hari kedua, sesi parallel dan hari terakhir, Bengkel Kajian Kes bersama Presiden Persatuan Penulis-penulis Kes Malaysia (CWAM), Prof. Dr. Zainal Abidin Mohamed yang memfokuskan kepada kemahiran penting untuk menggunakan kajian kes dengan berkesan serta bengkel oleh Emerald Publishing bertajuk “Teaching Case: Successfully Getting It Published”.

Pro Canselor, Yang Mulia Tengku Tan Sri (Dr.) Mahaleel Tengku Ariff turut meninjau Business Case Competition yang dihadiri bersama Business Development Representative, ROSATOM, Yap Tze Khong.

Kongres anjuran Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan (PKKPK-UUM) itu menyasarkan untuk dinaik taraf kepada Pusat Kajian Kes Nasional (PKKN), tertakluk kepada pertimbangan daripada Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

Hadir sama, Customer Success Partner Emerald Publishing (East Asia), William Loh Wui Lun; Business Manager, Emerald Publishing Limited, Elvin Cheah dan Pengarah PKKPK-UUM, Prof. Madya Dr. Narentheren Kaliappen.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button