Warga UUM hargai kemerdekaan tanah air
SINTOK: Warga Universiti Utara Malaysia (UUM) berkesempatan untuk merenung, menghargai dan meraikan kemerdekaan tanah air yang tercinta sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang bakal diraikan pada 31 Ogos ini.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, dengan rasa syukur yang mendalam kita mengimbas kembali perjuangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah meletakkan asas kukuh untuk negara kita.
Menurutnya, tema “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” menjadi seruan untuk semua agar terus menerus berusaha dengan penuh semangat dan dedikasi dalam apa jua bidang yang diceburi.
Katanya, ini adalah masa yang tepat untuk warga UUM menguatkan tekad, membangkitkan semangat, dan memperbaharui komitmen kita terhadap kecemerlangan, selari dengan semangat kemerdekaan yang diraikan hari ini.
“Seperti mana negara kita telah melangkah jauh dari hari-hari awal kemerdekaan, UUM juga harus terus bergerak ke hadapan. Dari pelajar hingga kepada staf memiliki peranan yang penting dalam membentuk masa depan yang lebih cemerlang.
“Saya ingin menyeru semua warga UUM agar terus bersama saya dan pengurusan UUM untuk terus memperteguh komitmen dengan sentiasa memberikan yang terbaik dalam setiap tugas dan tanggungjawab kita, dengan integriti dan dedikasi, menerima cabaran dengan sikap positif dan berani untuk mengatasi setiap halangan yang mendatang dan membangun kebersamaan dengan memperkukuhkan hubungan sesama kita dan berusaha mencapai kejayaan Bersama,” katanya di Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2024 dan Perhimpunan Bulanan Staf di foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, pagi tadi.
Pada majlis itu, Naib Canselor turut mengucapkan tahniah kepada semua atlet UUM atas kejayaan merangkul empat pingat emas, empat perak dan tiga gangsa di SUKUM 2024 dan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023.
Selain itu, diadakan juga penyerahan bendera Misi Mendaki Everest Base Camp, nyanyian lagu Sejahtera Malaysia, Jalur Gemilang dan Madani Jiwa Merdeka serta Senam Aerobik Merdeka.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Bursar, Abdul Roni Baharom dan Ahli-Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti serta pegawai-pegawai kanan universiti.