General

‘Say NO To Scammer’ tingkat pengetahuan warga UUM

SINTOK: Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah telah menjadi tumpuan staf bersempena dengan Majlis Sambutan Hari Kebangsaan 2024 serta Perhimpunan Bulanan Staf yang dihoskan oleh Jabatan Canselori, semalam.

Sehubungan itu juga, Kempen Kesedaran ‘Say NO to Scammer’ yang merupakan platform penting dalam mempromosikan keselamatan siber dan perlindungan maklumat peribadi turut diadakan pada hari tersebut.

Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Psikologi Gunaan, Dasar dan Kerja Sosial (SAPSP), Dr. Mohd Alif Jasni berkata, Kempen Kesedaran ‘Say NO to Scammer’ bertujuan untuk meningkatkan kesedaran melalui cara menyebarluaskan maklumat mengenai bahaya penipuan (scam) yang semakin berkembang.

Selain dari itu, menurutnya, ia juga dapat memberikan panduan dan pendidikan tentang bagaimana maklumat peribadi dan kewangan daripada penipuan dapat dilindungi.

“Staf yang berkunjung ke reruai kempen turut diberi pendedahan mengenai amalan terbaik untuk keselamatan siber dalam persekitaran kerja yang dapat membekalkan staf dengan pengetahuan untuk bertindak balas terhadap ancaman penipuan.

“Saya berharap kempen ini akan sedikit sebanyak mencapai matlamatnya dalam meningkatkan tahap kesedaran tentang bahaya penipuan (scam), di samping staf dapat mempraktikkan amalan keselamatan siber yang lebih baik dan berfungsi sebagai duta keselamatan dalam persekitaran kerja. Dengan penyertaan aktif semua pihak, saya yakin bahawa kita dapat membina persekitaran kerja yang lebih selamat dan terlindung daripada ancaman penipuan,” katanya.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyokong dan menjayakan kempen ini. Semoga usaha ini memberikan impak yang positif dan memperkukuhkan budaya keselamatan dalam organisasi masing-masing.

Ahli kumpulan yang turut serta dalam pelaksanaan kempen adalah Ahmad Tariq Zulkifli dari Jabatan Keselamatan, Hasif Sukri dari Jabatan Canselori, Normizan Yusoff dari Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi dan Nurzulfah Afifah Mat Tamizi dari Jabatan Sumber Manusia.

Program Sukarelawan UUM ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Jabatan Sumber Manusia dengan kerjasama SAPSP dalam usaha memperkasakan sukarelawan dengan ilmu dan kemahiran kepimpinan dalam bidang kesukarelawanan.

Kempen ini mendapat sambutan yang baik daripada staf yang hadir di mana mereka berpeluang menjawab soal selidik yang disediakan dan turut mengambil bahagian dalam cabutan bertuah. – Nurzulfah Afifah Mat Tamizi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button