Profesor UUM terima penghargaan The Malaysia Book of Records
KUALA LUMPUR: Profesor Pemasaran dan e-Dagang, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Ts Dr. Norazah Mohd Suki mengharumkan nama universiti apabila menjadi salah seorang penyelidik menerima sijil daripada The Malaysia Book of Records.
Beliau menerima sijil penghargaan bagi ‘First National Security Index’ atas sumbangan signifikan dalam Kajian Indeks Keselamatan Kebangsaan (IKK) sebagai Pakar Kajian.
Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Hubungan Korporat), OYAGSB yang merupakan Felo Penyelidik Utama Bersekutu, Institut Biodiversiti dan Pembangunan Lestari (IBSD) Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu melahirkan rasa syukur kerana turut terlibat dalam kumpulan tersebut bagi menjayakan kajian berkenaan.
Penyelidikan tersebut diketuai oleh Prof. Dr. Yarina Ahmad dari UiTM bersama 81 penyelidik dan enam pembantu penyelidik dengan kerjasama 58 pegawai penyelidik strategik Majlis Keselamatan Negara (MKN) di seluruh negeri atas kejayaan membangunkan IKK ini.
Pembangunan indikator IKK ini meliputi sembilan nilai teras keselamatan negara yang inklusif dan komprehensif merentasi semua aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh semua jentera kerajaan terutama agensi kerajaan.
Kejayaan hasil penyelidikan ini merupakan sumbangan terbesar dalam usaha untuk memperkukuhkan keselamatan negara secara berterusan.
Beliau menerima sijil penghargaan daripada Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan), MKN, Hamzah Ishak.