General

CUIC, MITRA bincang kerjasama bantu masyarakat India

KUALA LUMPUR: Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan lawatan kunjungan hormat ke Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi membincangkan kerjasama dan kolaborasi untuk membantu masyarakat India di negara ini melalui pelbagai inisiatif yang melibatkan pendidikan, pembangunan sosial dan sokongan komuniti.

Pertemuan yang diketuai Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam itu membincangkan tentang program-program UUM yang dapat membantu masyarakat India iaitu program penjanaan pendapatan, program pemasaran dan program keusahawanan bagi membantu usahawan India serta program pemerkasaan Matematik kepada murid-murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Menurutnya, kolaborasi antara UUM dan MITRA diharapkan dapat meningkatkan kesejahteraan, pendidikan, dan integrasi sosial masyarakat India di Malaysia dalam memastikan mereka mendapat sokongan yang diperlukan untuk berkembang dan menyumbang kepada masyarakat secara keseluruhan.

MITRA yang diterajui oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) merupakan sebuah unit khas bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pengarah MITRA, Prabagaran Ganapathy berkata, unit ini tidak hanya fokus kepada golongan B40, namun golongan M40 juga tidak dipinggirkan yang turut menghadapi cabaran ekonomi, termasuk tekanan kewangan dan ketidakstabilan pendapatan, walaupun mereka tidak menerima bantuan yang sama seperti B40.

Menurutnya, kumpulan sasaran bagi program yang dijalankan oleh MITRA lebih tertumpu kepada pelajar unversiti bagi melahirkan pelajar yang holistik di samping program bersama komuniti setempat.

Pihak MITRA juga mencadangkan kepada pihak UUM untuk mengadakan program pemerkasaan pelajar (empowering program), program asas keusahawanan dan inkubator.

Program tersebut perlulah program yang berterusan (continuous) dan berkekalan (sustainable) yang dapat memberi impak dalam jangka panjang. Program yang dicadangkan juga perlu mempunyai kajian keperluan latihan komuniti India di kawasan utara (need analysis).

Turut hadir, Pengarah Pendidikan dan Latihan, Yashotha  Shanmugam; Pengarah Ekonomi dan Kerjaya, Saravanan Gogarajah dan Timbalan Pengarah CUIC, Muhammad Husaini Salleh.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button