General

IPDM dan Kementerian Komunikasi jalin kerjasama intelek

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa menerima kunjungan hormat daripada staf Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM) di pejabat beliau, baru-baru ini.

Sesi perundingan yang diketuai Pengarah IPDM, Prof. Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib itu dimulakan dengan pembentangan berkaitan latar belakang IPDM dan program-program IPDM yang telah dan sedang dalam perancangan.

Dr. Ariffin dalam pembentangannya menyatakan bahawa IPDM mempunyai misi yang jelas untuk menjadi pusat kecemerlangan dalam penyelidikan, perundingan, pengumpulan dan rujukan utama tentang pemikiran, wacana, kepimpinan dan dasar-dasar negara.

Menurutnya, di samping itu, IPDM berhasrat menjadi pusat latihan kepimpinan dan pemikiran Perdana Menteri dan tokoh-tokoh ulung negara dan mencadangkan dasar-dasar yang berkaitan pembinaan negara bangsa dan ketahanan nasional, namun secara tuntasnya IPDM mendukung visi utama sebagai pusat kecemerlangan dalam pemikiran, kepimpinan dan dasar negara.

Datuk Mohamad Fauzi dalam kenyataan balasnya menyatakan bahawa Kementerian Komunikasi bersedia untuk menjalin usahasama dengan pihak IPDM dengan penyelarasan program secara kolektif dan bersepadu.

Menurutnya, pihak kementerian memandang positif kepada hasrat untuk menjalin persefahaman secara rasmi antara kedua-dua pihak melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan perbincangan lanjut berkenaan MoU direncanakan berlangsung dalam masa terdekat.

Turut serta, Pensyarah Pusat Pengajian Kerajaan, Prof. Madya Dr. Na’eim Ajis, pakar bidang dasar awam.

Dalam pertemuan itu, pihak IPDM dan Datuk KSU sepakat bersetuju bahawa akademia di universiti merupakan penyelidik yang mempunyai kredibiliti dan kepakaran dalam meneraju sesuatu kajian. Justeru, IPDM menyatakan ketersediaan untuk menjadi hab bagi kajian-kajian yang diperlukan oleh pihak kementerian, khususnya bagi tujuan pembentukan dasar. – Prof. Madya Dr. Azlina Kamaruddin

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button