General

SOL dan Jabatan Peguam Negara kukuh hubungan dua hala

PUTRAJAYA: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan program kerjasama bersama Jabatan Peguam Negara (AGC) di Ibu Pejabat AGC, Putrajaya.

Dekan SOL, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, program ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik dan meningkatkan kefahaman undang-undang dalam kalangan pensyarah SOL dan selari dengan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kedua-dua pihak pada Mei tahun ini.

Menurutnya, menerusi program ini, peserta telah didedahkan dengan prinsip dan tatacara penggubalan undang-undang di Malaysia.

Sesi perkongsian ilmu ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Penggubal Undang-Undang Parlimen, Jabatan Peguam Negara, Datuk Rozita Ramli dan seterusnya oleh pegawai kanan yang berpengalaman luas dalam penggubalan pelbagai jenis undang-undang negara.

Antara topik utama yang dibincangkan ialah Pengenalan kepada Undang-Undang dan Prinsip Asas Penggubalan. Sesi tersebut memperjelaskan pelbagai aspek penting dalam penyusunan dan perangkaan undang-undang, termasuk metodologi dan prinsip-prinsip asas yang perlu dipatuhi dalam merangka perundangan yang efektif dan berkesan.

“Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada pensyarah SOL dan pegawai Jabatan Undang-Undang UUM untuk mendalami pemahaman mereka dalam aspek penggubalan undang-undang, malah juga berfungsi sebagai platform untuk interaksi dua hala antara pihak akademik dan pegawai AGC.

“Diskusi interaktif dan sesi soal jawab turut diadakan bagi membincangkan cabaran dan amalan terbaik dalam penggubalan undang-undang,” katanya yang juga Penolong Naib Canselor UUM COLGIS.

Majlis penutup program telah disempurnakan oleh Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan kerjasama antara AGC dan institusi pengajian tinggi seperti SOL untuk mempertingkatkan kualiti pendidikan undang-undang.

Program ini berjaya mencapai matlamatnya untuk mengukuhkan hubungan dua hala, di samping meningkatkan kemahiran dan pengetahuan pensyarah SOL dan staf Jabatan Undang-Undang UUM dalam bidang undang-undang, khususnya berkenaan penggubalan perundangan.

Selain dari pensyarah SOL, program ini turut disertai pegawai dari Jabatan Undang-Undang UUM. – Shaidah Shaari

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button