General

UUM beri RM500 kepada 166 pelajar baharu miskin dan daif

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) bersetuju untuk melaksanakan saranan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang meminta supaya pentadbir universiti menerima masuk pelajar miskin dan daif, termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran mereka.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, pelajar dalam kategori miskin dan daif tanpa mengira kaum dan agama yang akan memasuki UUM pada sesi kemasukan 1 Oktober ini bukan sahaja diberi penangguhan membayar yuran dan apa jua bayaran, malah diberi bantuan kewangan sebanyak RM500 seorang.

Menurutnya, seramai 166 pelajar telah dikenal pasti dalam kategori ini dan sebahagian mereka sudah diberikan bantuan wang berkenaan, sebelum mendaftar penginapan di UUM pada 1 Oktober nanti, selain diberikan juga bantuan berupa Bakul Rahmah untuk keluarga berkenaan.

Dr. Mohd Foad Sakdan

UUM melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar telah memaklumkan kepada semua pelajar kurang berkemampuan yang akan mendaftar untuk memberikan nama dan maklumat berkaitan kepada UUM termasuk mereka dari kategori keluarga miskin dan daif.

Selain itu, UUM juga bersedia untuk menawarkan bantuan pembiayaan yuran percuma sepanjang pengajian bagi pelajar kategori keluarga miskin yang menjadi anak pertama dalam keluarga yang memasuki universiti. Bantuan ini dinamakan Program Sulung 3.0.

Selain itu, UUM juga menyediakan ‘food bank’ kepada pelajar yang memerlukan untuk memastikan tiada pelajar kelaparan kerana ketiadaan duit.

Di samping itu, bantuan termasuk pemberian komputer riba percuma dan bantuan-bantuan lain yang difikirkan perlu akan terus menjadi aktiviti utama Jabatan Hal Ehwal Pelajar.

“Kita tidak mahu ada keluarga yang risau untuk menghantar anak mereka meneruskan pengajian di UUM kerana masalah kewangan.

“Saya juga telah meminta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed untuk melaksanakan program ‘Jelajah Prihatin’ bagi mengenal pasti dan memberikan bantuan terus kepada pelajar yang memerlukan,” katanya.

Jabatan Hal Ehwal Pelajar akan turut membantu dalam memudahkan pelajar yang memerlukan bantuan pinjaman melalui PTPTN atau agensi lain.

Pada Khamis lalu, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir mengarahkan semua pentadbir universiti menerima masuk pelajar miskin dan daif, termasuk menangguhkan bayaran yuran pendaftaran mereka.

Datuk Seri Dr Zambry turut mengarahkan pihak universiti menguruskan bantuan awal pengajian melalui PTPTN kepada golongan mahasiswa berkenaan. – Kori Ariff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button