General

Tahanan Penjara Alor Setar lulus viva sarjana UUM

ALOR SETAR: Keinginan bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana tidak pernah luntur walaupun berstatus tahanan di Penjara Alor Setar.

Berbekalkan keazaman yang tinggi, seorang tahanan penjara berjaya mempertahankan tesisnya dalam sesi viva yang telah dijalankan pada 18 September lalu.

Pelajar Sarjana Pengurusan di bawah Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM) Universiti Utara Malaysia (UUM) itu membuktikan tidak ada yang mustahil untuk dicapai oleh tahanan sepertinya, asalkan mempunyai iltizam untuk berjaya.

“Penjara banyak mengajar erti kehidupan dengan memberi peluang untuk saya menimba pelbagai ilmu dan bangkit untuk terus maju ke hadapan,

“Saya berterima kasih kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana memberi peluang untuk saya kembali belajar, begitu juga UUM, khususnya penyelia saya, Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud dan Dr. Mazli Mutazam yang sentiasa sokongan untuk saya terus belajar walapun berada dalam penjara,” katanya.

Sesi viva tersebut telah dipengerusikan oleh Prof. Dr. Hasnizam Shaari, manakala pemeriksa tesis terdiri daripada Prof. Madya Dr. Hamran Mohamad (UPNM) dan Prof. Madya Dr. Abdul Sukor Shamsudin (UUM).

Sesi ini turut dihadiri oleh Dr, Nasirudin Haron sebagai Setiusaha dan Abdul Hafiz Abdul Halim sebagai Urusetia daripada SBM.

Pada Februari lalu, tahanan penjara itu berjaya mempertahankan tesis sarjananya di Penjara Alor Star.

Jabatan Penjara Malaysia sememangnya membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang berminat dan berkelayakan untuk mengikuti pengajian yang lebih tinggi supaya penghuni berkenaan dapat mencorak masa depan lebih cerah apabila dibebaskan kelak. – SBM

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button