General

Anak sulung pertama B40 terharu terima lawatan Naib Canselor

KUALA KEDAH: Bakal melangkah ke Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 1 Oktober ini, Nur Fathin Nabila Airyazi, 19, menerima kejutan apabila Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan mengunjungi rumahnya di Perumahan Awam Kuala Kedah, dekat sini, petang semalam.

Anak sulung daripada lima beradik itu hanya dimaklumkan pengurusan tertinggi universiti akan datang ke rumahnya untuk menyampaikan sumbangan.

Nur Fathin yang akan melanjutkan pengajian dalam program Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat selama empat tahun memaklumkan dia sangat terharu dan gugup menerima kunjungan tersebut.

Menurutnya, dia berterima kasih kepada Naib Canselor yang sudi datang dan bersyukur kerana terpilih untuk menyambung pengajian di UUM walaupun ianya merupakan pilihan kedua dan lebih menggembirakan apabila dia merupakan anak pertama dalam kalangan keluarga ibu bapanya yang berjaya menjejakkan kaki ke universiti.

“Sumbangan awal yang diterima ini akan membantu meringankan beban keluarga dan juga saya yang akan berada di UUM sepanjang tempoh pengajian kelak.

“Saya perlu masuk ke universiti untuk mengubah nasib keluarga kerana saya tahu ibu bapa bukan berasal dari keluarga senang, malah yuran untuk saya masuk ke UUM juga terpaksa dipinjam terlebih dahulu daripada ibu saudara,” kata pelajar lepasan Matrikulasi Changlun itu.

Nur Fathin berkata, dia juga ada membuat kerja sampingan untuk mencari duit poket kerana tidak mahu membebankan ibu bapanya yang perlu menyara empat lagi adik-adiknya yang masih bersekolah.

Dia juga terpaksa menggunakan peralatan lama semasa mengikuti pengajian di matrikulasi memandangkan kekangan kewangan yang dihadapinya sekeluarga.

“Saya berharap ini adalah permulaan saya untuk melangkah jauh dalam mengejar cita-cita sebagai seorang pegawai bank atau guru kaunseling,” kata anak kepada pasangan suami isteri, Airyazi Md Zain, 45, dan Shakirah Saad, 37.

Sementara itu, Naib Canselor, Dr. Mohd Foad berkata, pihaknya mengambil inisiatif memberi bantuan awal kepada pelajar yang menerima tawaran ke UUM daripada kumpulan B40 atau keluarga kurang berkemampuan.

“Kita sentiasa cakna dalam menjaga kebajikan serta memberi bantuan kepada semua pelajar yang memohon untuk mendapatkan bantuan daripada universiti.

“Antara bentuk bantuan termasuk ‘food bank’, zakat, Bakul Rahmah, bantuan komputer riba dan banyak lagi,” katanya.

UUM juga bersedia untuk menawarkan bantuan pembiayaan yuran percuma iaitu Program Sulung 3.0 sepanjang pengajian bagi pelajar kategori keluarga miskin yang menjadi anak pertama dalam keluarga yang memasuki universiti.

Seorang lagi pelajar yang merupakan bekas pelajar Matrikulasi Kuala Nerang, Nur Nisda Alia Masri, 19, mengucapkan terima kasih kepada Naib Canselor UUM yang datang menyampaikan bantuan awal sebelum dia mendaftar sebagai pelajar baharu di universiti berkenaan pada Selasa depan.

Anak bongsu dua beradik itu bakal mengikuti program Sarjana Muda Kewangan yang telah lama diminatinya sejak di bangku sekolah lagi.

“Saya ingin membalas jasa ibu dan bapa tiri yang banyak berkorban duit dan masa untuk membiayai persekolahan saya dan kakak selama ini.

“Hanya melalui pendidikan sahaja yang dapat mengubah nasib saya sekeluarga,” katanya.

Pelajar-pelajar berkenaan turut menerima bantuan kewangan sebanyak RM500 seorang yang akan dikreditkan ke dalam akaun bank masing-masing.

Terdahulu, Pegawai Tadbir Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Halim Md Yatim turut menyampaikan sumbangan kepada bakal pelajar UUM yang akan mula mendaftar pada Oktober depan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button