UUM jejak pelajar baharu sekitar Johor
MUAR: “Amma sudah gadai emas untuk beli barang keperluan anak sulung saya encik”, itulah ungkapan semangat yang diucap seorang ibu, Kasturi Balamuthoo kepada anak sulungnya, Puvanesvary Kanasan di hadapan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed ketika mengunjungi rumah mereka di sini.
Puvanesvary yang berasal dari Muar merupakan anak sulung daripada tiga beradik telah mendapat tawaran ke Universiti Utara Malaysia (UUM) selepas cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).
Kecemerlangan ini tidak diduga oleh ibunya yang mengimbau kenangan sepanjang menjaga anaknya, Puvanesvary sehingga dapat melanjutkan pengajian ke peringkat universiti.
Dr. Ahmad Martadha turut mengunjungi Muhammad Hazique Abdullah dan Nadiyah Khairol Anam di Batu Pahat bagi menyampaikan sumbangan.
Program ‘outreach’ ini merupakan salah satu inisiatif berterusan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UUM terutama sesi kemasukan pelajar baharu yang digerakkan mengikut zon.
Inisiatif ini hasil permohonan pelajar baharu melalui Bahagian Perkhidmatan dan Sokongan Pelajar (SSSD) untuk mendapat sumbangan awal sebelum memulakan perjalanan ke menara gading. Antara sumbangan yang disampaikan adalah surat penerimaan sumbangan tunai, kotak makanan dan keperluan asas.
Turut serta, wakil Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM dan Kelab Pelajar Chapter (KPC) Johor UUM dalam Program Outreach Jejak Cakna Siswa UUM (Zon Selatan).