Lima pelatih terbaik UA akhiri Kursus Sukarelawan SISKOR
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK: Setelah tujuh hari menjalani aktiviti mencabar, akhirnya lima pelajar berjaya menerima Sijil Pelatih Terbaik pada Majlis Pentauliahan Pasukan Sukarelawan Siswa/Siswi Koreksional (SISKOR) 2024 di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), pagi tadi.
Mereka yang dipilih merupakan pelatih terbaik dari setiap detasmen iaitu Inspektor SISKOR Ku Suhaila Ku Alahudin dari UUM, Inspektor SISKOR Muhammad Asyraf Ramli dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Inspektor SISKOR Siti Nur Firdiani Zaiful dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Inspektor SISKOR Siti Aisyah Abu Hasan dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Inspektor SISKOR Abdul Rahman Abd Majid dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Kesemua mereka masing-masing mewakili UTHM, UNISZA, UNIMAP, UMK dan UUM telah menyertai kursus ini dengan 267 pelatih lain.
Penyampaian sijil disempurnakan oleh Komisioner Jeneral Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, Dato’ Seri Nordin Muhamad dan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.
Dalam aluan Dr. Mohd Foad berkata, Kursus Sukarelawan Siswa/Siswi Koreksional atau SISKOR merupakan salah satu usaha bagi melahirkan mahasiswa yang holistik, seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial serta berperanan penting sebagai pemangkin kepada pembangunan kemahiran insaniah.
Menurutnya, melalui kursus ini, mahasiswa akan mengaplikasi teori dan praktikal kepenjaraan, serta membina sahsiah dan keperibadian yang beretika.
“Teras utama SISKOR adalah kesukarelawanan yang merangkumi pelbagai bidang lain seperti kebudayaan, daya usaha dan inovasi serta khidmat komuniti.
“Kita menggalakkan mahasiswa untuk mengambil peluang ini dan terlibat dalam aktiviti yang memberi impak positif kepada masyarakat. Saya yakin SISKOR akan melahirkan pelapis pemimpin yang peka kepada keperluan masyarakat,” katanya.
Hadir sama, Pengarah, Bahagian Pembangunan Profesionalisme, TKP Mohamad Rosidek Musa; Pengarah, Penjara Pokok Sena, TKP Nor Haizan Md Isa yang mewakili Pengarah, Jabatan Penjara Negeri Kedah dan Naib Canselor UMK, Prof. Dato’ Dr. Razli Che Razak.