Zakat, wakaf mampu jana ekonomi ummah
Gambar Mohd Fuad Hamid
MELAKA: “Peranan zakat, cukai dan wakaf mampu menjana pembangunan ekonomi ummah,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Beliau berkata, tema persidangan iaitu “Memanfaatkan Kewangan Sosial Islam untuk Kemampanan Masa Depan” bertujuan membincangkan peranan zakat, wakaf, dan cukai dalam memacu pembangunan ekonomi negara dan kesejahteraan ummah selepas dunia berdepan dengan pandemik Covid-19.
Menurutnya, dalam konteks memudahkan kelestarian Pembangunan Ekonomi Ummah, pengurusan sosial institusi kewangan harus melihat dan memahami tuntutan ekosistem pasca Covid-19.
Katanya, untuk mendapatkan pendekatan penuh ke arah inovasi yang berjaya, program yang berpotensi dengan bermatlamat mampu dicapai oleh pihak berkepentingan.
“Rangka kerja inovasi melalui lensa sosial kewangan mengkategorikan inovasi hasil yang diharap dapat dicapai iaitu Inovasi Berskala, Inovasi Mampan, Inovasi Inklusif dan Inovasi Kolaboratif.
“Penyelesaian pembiayaan dan perlindungan yang sesuai boleh direka untuk menyokong sektor-sektor ini selaras dengan jangka panjang iaitu tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan dan keusahawanan dalam memacu ke arah masyarakat berpendapatan tinggi dan berkongsi kemakmuran untuk semua,” katanya ketika merasmikan 3rd International Conference on Zakat, Tax, Waqf amd Economic Development (ZAWED) 2024, semalam.
ZAWED 2024 merupakan seminar yang ketiga selepas dua edisi berjaya diadakan di Langkawi dan Sarawak di mana ia menjadi platform yang berkesan bagi ahli akademik, pemain industri, dan pembuat dasar untuk berbincang mengenai sinergi zakat, wakaf, dan cukai dalam pembangunan sosioekonomi.
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, ZAWED adalah lebih daripada sekadar seminar kerana ia berfungsi sebagai platform penting bagi ahli akademik dan pemain industri untuk melibatkan diri dalam perbincangan bermakna dan bertukar-tukar pandangan mengenai integrasi zakat, wakaf dan percukaian untuk pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, dalam landskap yang berubah dengan pantas hari ini, seminar sebegini adalah penting untuk memastikan semua pihak berkepentingan boleh menyesuaikan diri dan berinovasi untuk memenuhi tanggungjawab sosial mereka dengan berkesan.
Katanya, seminar ini sangat relevan bukan sahaja kepada mereka yang terlibat dalam pengurusan zakat dan wakaf tetapi juga kepada semua rakyat Malaysia yang komited untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara.
“Saya yakin melalui dialog yang membina, kita boleh meneroka laluan baharu untuk memajukan inisiatif ini dan memastikan manfaatnya dikongsi secara meluas.
“Saya amat berharap ZAWED 2024 bukan sahaja akan menyediakan platform yang bermanfaat untuk perbincangan tetapi juga memupuk kerjasama yang lebih erat dalam kalangan pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau percaya setiap idea dan cadangan yang dikongsikan semasa seminar ini akan diberi pertimbangan yang serius dan diambil tindakan dengan penuh tanggungjawab.
Turut berlangsung perasmian gimik pelancaran iaitu tayangan montaj ZAWED 2024, pelancaran buku Zon Pembangunan Ekonomi Ummah (ZPEU) dan pelancaran sistem IPIZ MyGrant.
Seminar anjuran Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), UUM dan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) itu disertai oleh pelbagai tokoh akademik, pemain industri, dan pihak berkepentingan selama dua hari bermula semalam.
Seminar kali ini menekankan peranan zakat dan wakaf dalam memajukan negeri yang bersejarah ini di mana Melaka telah menunjukkan contoh yang cemerlang dalam pengurusan zakat dan wakaf, dengan sumbangan yang bukan sahaja membantu golongan asnaf tetapi turut menyumbang kepada pembangunan masyarakat keseluruhan.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Dato’ Syeikh Zakaria Othman; Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor dan Pengarah IPIZ, Prof. Dr. Abdul Halim Abdul Majid serta Pengarah ZAWED, Prof. Madya Dr. Azizi Abu Bakar.