General

UUM bakal lahirkan 6,742 graduan pada Majlis Konvokesyen Ke-37

ALOR SETAR, 6 November: Seramai 6,742 graduan akan menerima ijazah masing-masing melibatkan sembilan sesi di Majlis Konvokesyen Ke-37 Universiti Utara Malaysia (UUM) yang akan bermula pada 10 sehingga 14 November ini di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Tuanku Canselor berkenan mengisytiharkan sesi pertama dan mengurniakan ijazah di majlis konvokesyen kali ini.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, daripada keseluruhan 6,742 graduan tersebut, seramai 5,539 adalah terdiri daripada graduan sarjana muda, manakala 1,126 merupakan graduan pascasiswazah terdiri daripada graduan Doktor Falsafah, Doktor Pengurusan, Doktor Pentadbiran Perniagaan dan Ijazah Sarjana dan selebihnya 77 graduan Diploma Eksekutif.

Menurutnya, majlis konvokesyen ini melibatkan 6,330 graduan tempatan dan 412 lagi adalah graduan antarabangsa dari 24 negara antaranya dari Indonesia (151), China (55), Somalia (31), Arab Saudi (29) dan Palestin (6).

Anugerah Pelajaran DiRaja dikurniakan kepada Muhammad Shuib Rosli (Sarjana Muda Falsafah, Undang-Undang dan Perniagaan Dengan Kepujian) dan Emina Kulasic Bong Ei Min (Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa Dengan Kepujian), manakala Pingat Emas Canselor dikurniakan kepada Nur Eina Athirah Norazman (Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Dengan Kepujian).

Penerima Anugerah Pelajaran DiRaja akan menerima tunai RM 7,500.00 berserta sijil, manakala penerima Pingat Emas Canselor menerima tunai RM 4,000.00 berserta sijil.

Selain itu, daripada 5,539 graduan sarjana muda, seramai 1,681 merupakan graduan ijazah kelas pertama.

UUM juga meraikan 30 graduan sulung bagi tiga program baharu iaitu Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengurusan Golf) Dengan Kepujian (21), Sarjana Sains (Penyelidikan Operasi dan Analitik) (8) dan Doktor Pendidikan (1).

Selain itu, bersempena Majlis Konvokesyen ini juga, UUM turut menganjurkan Pesta Konvokesyen atau PESKON37 yang bermula 8 hingga 16 November ini dengan tema “Alumni Gemilang”.

Dr. Mohd Foad berkata, sepanjang PESKON37 berlangsung, pengunjung boleh mendapatkan pengalaman dan ilmu pengetahuan baharu dengan mengunjungi pameran, bengkel, forum dan aktiviti interaktif merangkumi bidang-bidang seperti Literasi Kewangan dan Teknologi, Sukan dan Rekreasi, serta Kerjaya dan Keusahawanan.

Menurutnya, PESKON37 menyediakan tema berbeza setiap hari untuk memberi peluang kepada pengunjung dan mahasiswa mendalami topik-topik setiap program yang disediakan.

“Ia juga bertujuan menggalakkan pengunjung untuk menyertai setiap bengkel, forum dan aktiviti interaktif bagi menambah pengetahuan dalam bidang-bidang yang mereka sukai.

“Selain itu, PESKON37 juga akan dimeriahkan dengan persembahan artis-artis jemputan popular seperti Faizal Tahir, Ameng Spring, Wany Hasrita, Insomniacks, Ismail Izzani, SonaOne, Aiman Tino,  dan lain-lain lagi,” katanya.

Penganjur juga membuka peluang perniagaan seperti 33 peniaga pelajar, 8 peniaga trak makanan dan tambahan 96 khemah jualan dari peniaga luar bagi menjamin kemudahan memasarkan produk-produk usahawan di sini. Peluang itu membolehkan mahasiswa UUM mengasah bakat keusahawan dan kepimpinan mereka. 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button