General

PPKS UUM adakan suntikan anti tifoid untuk usahawan pelajar kiosk makanan & minuman

Gambar PPKS

SINTOK, 7 November 2024: Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS) Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini menganjurkan program suntikan anti tifoid bagi usahawan pelajar yang terlibat dalam perniagaan kiosk makanan dan minuman di kampus.

Program ini dijalankan dengan kerjasama Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan UUM (PKKU) di bawah seliaan Pengarah PKKU, Dr. Adi Azhar Abdul Razak.

Seramai 63 pelajar telah menerima suntikan anti tifoid di Pusat Kesihatan dan Kesejahteraan UUM. Suntikan ini diwajibkan kepada semua pengendali makanan di kampus sebagai langkah pencegahan untuk menjaga kesihatan dan keselamatan makanan yang dijual kepada warga kampus. 

Pengarah PPKS, Khairul Anuar Adnan menyatakan bahawa inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha UUM untuk menyokong dan membimbing pelajar dalam menjalankan perniagaan secara bertanggungjawab dan profesional.

“Melalui suntikan ini, kita memastikan usahawan pelajar dapat beroperasi dengan lebih selamat, sekaligus menjaga kesejahteraan pelanggan dan komuniti kampus.

“Program ini juga selari dengan standard keselamatan kesihatan yang disarankan untuk pengusaha makanan,” katanya.

Dr. Adi Azhar turut menekankan pentingnya suntikan anti tifoid dalam mengekang penularan penyakit berkaitan makanan, terutama di persekitaran kampus yang padat.

“Kami komited untuk menyediakan kemudahan kesihatan terbaik kepada warga UUM, dan kerjasama ini adalah langkah penting dalam memastikan keselamatan makanan dalam kampus terjamin,” katanya.

Para usahawan pelajar menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan kesediaan mereka untuk terus mematuhi prosedur keselamatan dalam perniagaan mereka.

PPKS UUM berharap program seumpama ini dapat dijalankan secara berterusan sebagai sokongan terhadap perkembangan keusahawanan dan kesejahteraan pelajar di UUM. – Siti Aishah Adanan

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button