General

Guna duit sendiri tampung masuk universiti, akhirnya berjaya peroleh gaji RM10,000

Gambar Ihsan Muhammad Khairulnajmi Zakaria

SINTOK, 13 November 2024: Bagi menampung sebahagian kos pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM) kira-kira lima tahun lalu, graduan Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Muhammad Khairulnajmi Zakaria, 24, telah mula mencari duit sendiri dengan bekerja sebagai penasihat eksekutif di syarikat takaful.

Khairulnajmi berkata, ketika itu dia mengambil cabaran dan melawan ketakutan untuk mencuba demi mencari punca kewangan sendiri untuk menempuh alam universiti meskipun permulaan gaji sekitar RM1,000 sahaja.

Menurutnya, dalam masa sama, ketika belajar di universiti, dia bersyukur kerana diberi peluang untuk dinaikkan pangkat kebagai ketua dalam industri takaful pada usia 21 tahun.

“Saya mempunyai 35 orang di dalam kumpulan sepanjang dalam industri takaful ini setelah menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam mencari jualan dan sebagainya.

“Alhamdulilah selama lima tahun dalam industri takaful, pelbagai kejayaan dan anugerah yang diperolehi walaupun masih belajar di universiti sebagai pelajar tetapi itu bukan menjadi penghalang kepada saya untuk berjaya di samping melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Saya pandang itu sebagai peluang lebih besar kerana saya ingin mengejar matlamat saya dan mempunyai kewangan untuk menampung kos pengajian saya menggunakan kewangan sendiri,” kata anak bongsu kepada Zakaria Ali dan Zaimah Mohd.

Berpendapatan sebulan mencecah RM10,000, Khairulnajmi merakamkan rasa syukur kerana mampu mencapai pendapatan bulanan lebih dari lima angka setiap bulan melalui rezeki dalam industri takaful ini.

Menurutnya, usaha tidak pernah mengkhianati dan dia bersyukur kerana dalam tempoh 5 tahun ini sudah bergelar Pengarah Agensi di Kuantan, Pahang.

Katanya, matlamat yang jelas dan sentiasa mengambil peluang serta memandang setiap itu peluang untuk tidak takut mencuba perkara baru demi mengejar impian menjadi salah satu penguat untuk mencapai kejayaan dan berfikiran lebih jauh.

“Bagi saya tiada alasan sebagai pelajar untuk berjaya walaupun pada usia yang muda untuk berada dalam industri dan mendapatkan kepercayaan demi menguruskan risiko kewangan mereka pada usia yang muda.

“Saya berharap ijazah yang diterima akan dimanfaatkan sebaiknya di alam pekerjaan dan pada masa sama, saya anggap belajar ini satu peluang untuk terus lebih berjaya, selain belajar untuk perkara baharu.

“Di samping itu, saya juga merancang untuk sambung belajar secara pendidikan jarak jauh (PJJ) dengan menjalankan kajian berkaitan kewangan, syariah dan muamalat,” katanya.

Khairulnajmi kini bekerja di Bahagian Kewangan, Unit Khidmat Pengurusan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang selepas tamat latihan industri.

Dia turut merancang untuk menyumbang bakti dalam sektor kerajaan mahupun swasta dengan kemahiran dan pengalaman yang dimiliki sepanjang berada di universiti sebagai badan pemimpin pelajar dan sebagainya.

Khairulnajmi menerima ijazah pada sesi kelima yang disampaikan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan di Dewan Mu’adzam Shah.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button