General

Aplikasi ilmu graduan untuk pekerjaan seharian

Gambar Hairul Nizam Zahari

ALOR SETAR, 14 November 2024: Bakal graduan Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM) diingatkan untuk mengaplikasikan ilmu dan pengalaman mereka dalam kerja seharian.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, beliau percaya ilmu serta pengalaman yang digarap semasa pengajian di UUM banyak memberi input positif dan berguna pada diri, pekerjaan dan alam sejagat.

Menurutnya, graduan telah menempuh satu perjalanan yang agak panjang dan dipenuhi pelbagai rintangan untuk meningkatkan diri dengan ilmu dan pada masa sama memenuhi tuntutan dalam kerjaya dan keluarga.

“Kisah perjalanan setiap orang berbeza dan tentulah ada pelbagai ujian yang dilalui sepanjang mengikuti pengajian ini.

“Saya percaya kejayaan ini tidak dicapai dengan mudah tetapi dengan hasil usaha yang bersungguh-sungguh dalam mengharungi pelbagai cabaran, dan dugaan hingga impian memegang segulung ijazah menjadi kenyataan,” katanya di Majlis Makan Malam Graduan PACE UUM 2024, semalam.

Beliau berkata, graduan juga telah merealisasikan impian dan cita-cita sendiri dengan penganugerahan ijazah sarjana muda dalam bidang masing-masing pada esok hari (hari ini).

Menurutnya, ini merupakan satu kegembiraan yang tidak dapat dibayangkan setelah penat lelah dan rintangan yang dilalui selama bertahun-tahun menjadi kenyataan akhirnya.

“Hasil kejayaan ini, maka sudah sampai masanya alumni PACE UUM memberi sumbangan kembali kepada alma maternya.

“Tanpa peranan dan sumbangan alumni, maka alma mater tidak ke mana. Justeru, saya menyeru agar graduan dapat meluangkan masa, tenaga dan buah fikiran serta wang ringgit untuk memberi sumbangan kepada UUM dalam apa jua bentuk kemampuan yang ada,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PACE, Prof. Madya Dr. Herman Shah Anuar berkata, majlis makan ini adalah bagi meraikan graduan separuh masa PACE di mana 688 orang yang akan hadir pada majlis konvokesyen kali ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 42 graduan adalah pemegang ijazah kelas pertama.

“Saya yakin dan percaya, graduan telah melalui pelbagai halangan dan cabaran,” katanya.

PACE telah menawarkan lima program sarjana muda mode separuh masa di mana sebanyak 17,000 telah berjaya bergraduasi dan menjadi alumni UUM.

Wakil graduan, Nur Jannah Ahmad merakamkan rasa syukur kerana diterima masuk ke UUM dan akhirnya berjaya menamatkan pengajian.

Menurutnya, mereka berasa bangga dan bersyukur menjadi sebahagian produk UUM kerana UUM kini berada di kedudukan cemerlang di pentas dunia.

“Saya berterima kasih kepada UUM, dan keluarga kerana memberi peluang kepada kami melanjutkan pelajaran, seterusnya memberi sokongan dan dorongan agar kami dapat membuktikan graduan UUM unggul dan mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button