General

UUM raikan kejayaan graduan dengan semangat dan harapan baru

Gambar Shamsaimi Ezil

SINTOK, 14 November 2024: Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM) bergema dengan kegembiraan dan rasa bangga pada hari ini, apabila keluarga besar universiti berkumpul untuk menyaksikan para graduan menerima penghargaan atas pencapaian akademik mereka.

Majlis konvokesyen yang penuh emosi ini turut disertai oleh ibu bapa, pensyarah dan seluruh warga UUM, dengan penuh bangga menyaksikan generasi muda bersedia menghadapi dunia dengan ilmu di dada dan semangat yang membara.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan melahirkan rasa bangga terhadap graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian mereka setelah melalui perjalanan penuh liku.

“Wahai anak-anak didik UUM, kalian telah berdiri megah di sini hari ini, dengan selempang di bahu dan semangat yang berkobar. Kalian adalah harapan bangsa dan dunia kini terbentang luas di hadapan kalian,” katanya.

Beliau juga memberi penghormatan kepada ibu bapa yang telah berkorban, bekerja keras dan mendoakan kejayaan anak-anak mereka.

“Dari titis peluh ayah di ladang sunyi, hingga lirih doa ibu di malam sepi, anak-anak kalian kini telah bersinar di persada dunia, siap membawa amanah untuk masa depan,” katanya dalam bentuk puisi.

Beliau turut memberikan penghargaan kepada pensyarah yang telah bekerja tanpa lelah untuk membimbing dan mendidik graduan.

Menurutnya, semua ini adalah hasil usaha pendidik yang dengan sabar dan penuh kasih sayang, menanamkan ilmu dan menyebarluas benih-benih kebijaksanaan dalam diri graduan.

Dr. Mohd Foad turut menekankan betapa pentingnya graduan untuk terus maju dalam kehidupan, terutama dengan memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang telah diperoleh.

“Dunia di luar sana penuh cabaran, namun dengan ilmu, budi, dan bakti yang kalian bawa, tiada yang mustahil. Jadilah pemimpin yang membawa perubahan, bukan hanya bercakap tentang visi, tetapi melangkah gagah dan penuh strategi.

“Saya juga mengingatkan graduan untuk tidak hanya mengejar gaji, tetapi lebih penting adalah untuk mencipta nilai melalui kerja, inovasi, dan kemajuan teknologi. Kita perlu lebih daripada sekadar pekerjaan, kita perlu membina masa depan dengan tangan kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata, graduan bukan lagi sekadar anak yang pernah tertatih, tetapi pemimpin masa depan yang akan mencorak perubahan.

Dengan penuh keyakinan, Naib Canselor menutup ucapannya dengan harapan tinggi agar graduan terus maju dan membanggakan nama UUM di mata dunia.

“Majulah wahai anak-anak bangsa, berlayarlah dengan tekad dan keberanian. Jadikan ilmu sebagai senjata, budi sebagai perisai dan bawalah nama UUM dalam setiap langkah.

“Kembalilah sebagai pemimpin, sebagai pahlawan, untuk membina masa depan yang lebih gemilang demi bangsa dan negara tercinta,” katanya.

Seramai 965 graduan menerima ijazah sarjana muda masing-masing yang disampaikan oleh Naib Canselor, pada sesi kelapan, pagi ini.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button