Demi segulung ijazah, anggota RELA bawa anak masuk kelas online
IGambar Ihsan Fazilah Seidi
SINTOK, 14 November 2024: Demi menggenggam ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Awam di Universiti Utara Malaysia (UUM), anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) sanggup membawa bayi yang baru dilahirkan menyertai kelas yang diadakan secara maya.
Fazilah Seidi, 34, berkata, itu adalah pengalaman dan cabaran yang dihadapi sepanjang menjalani tempoh belajar bermula 2019 sehingga dia berjaya menamatkan pengajian pada tahun ini.
Menurutnya, ketika itu kelas diadakan secara maya pada 2021 ekoran penularan wabak Covid-19.
“Semasa kelas berlangsung, saya sedang mendodoikan anak untuk tidur dan pada masa sama cuba mencatat nota yang diberikan pensyarah ketika itu.
“Pensyarah saya sangat sporting dan beliau memberikan semangat untuk saya meneruskan pengajian meskipun sibuk menguruskan anak-anak yang masih kecil.
“Saya ingat lagi ketika itu juga, rakan-rakan dalam sesi Webex ketawa apabila pensyarah berseloroh bayi saya ikut serta dalam kelas untuk belajar,” katanya yang kini sudah memiliki tiga anak berusia enam bulan, 3 dan 6 tahun.
Kenangan kedua Fazilah pula ketika mengandungkan anak ketiga pada Mei tahun ini dan kebetulan dia turut akan menduduki peperiksaan akhir pada penghujung Mei lalu.
Menurutnya, pada 27 Mei dia telah melahirkan anak ketiga dan bayi yang dilahirkan terpaksa ditahan dalam wad selama seminggu, jadi dia mengambil peluang tersebut untuk menduduki peperiksaan akhir.
Katanya, dia meminta izin daripada doktor untuk keluar hospital dan bersyukur kerana mendapat kerjasama untuk mengambil kertas peperiksaan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
“Dengan sakit jahitan yang baru dua hari selepas bersalin, saya gagahkan diri juga untuk pergi ke dewan peperiksaan. Saya ingat lagi kesakitan ketika itu di mana masih berasa ngilu jahitan.
“Alhamdulillah, dalam kesakitan, saya mampu menjawab peperiksaan dalam tempoh 40 minit sahaja. Dengan izin Allah juga saya lulus untuk kertas peperiksaan tersebut,” katanya dari Kota Kinabalu, Sabah.
Ini adalah kesakitan demi segulung ijazah di mana Fazilah ingin membuktikan kepada anak-anaknya bahawa ibu mereka juga boleh belajar walaupun pelbagai ujian dan cabaran dilalui.
Fazilah yang hadir sendirian mengucapkan terima kasih kepada UUM, khususnya PACE sebab bagi peluang untuk dia menyambung pengajian, mendapat profesor dan pensyarah yang memberikan komitmen dan ilmu kepadanya.
“Kenangan 5 tahun belajar dari memiliki seorang anak sampai tiga orang, Insya allah jika diberi peluang keinginan untuk menyambung pengajian ke peringkat yang seterusnya,” katanya.
Fazilah antara 711 graduan yang menerima ijazah sarjana muda disampaikan Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan di Dewan Mu’adzam Shah, petang tadi.