General

Kecekalan pelajar bukan Muslim timba ilmu kewangan Islam

Gambar Narongrith Phetcharath

SINTOK, 18 November 2024: Narongrith Phetcharath, seorang anak muda berusia 23 tahun membuktikan bahawa tiada halangan dalam menuntut ilmu, walaupun dalam bidang yang dilihat asing bagi dirinya.

Berasal dari keluarga kecil sebagai anak sulung daripada dua beradik, Narongrith berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam di Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM). 

Dia mengakui perjalanan menimba ilmu ini penuh dengan cabaran, terutamanya ketika berhadapan dengan subjek-subjek seperti Syariah, Tauhid, dan Fiqh.

“Saya mengalami kesukaran untuk memahami konsep-konsep yang berkaitan dengan agama Islam pada mulanya.

“Namun begitu, saya berterima kasih kepada pensyarah dan rakan-rakan yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar. Nota-nota yang disediakan oleh pensyarah serta bimbingan rakan-rakan sangat membantu saya memahami pelajaran dan menyiapkan tugasan,” katanya.

Cabaran terbesar yang dihadapi Narongrith ialah ketika pembelajaran dijalankan secara dalam talian semasa semester ketiga yang hampir membuatnya berputus asa.

Menurutnya, pembelajaran secara dalam talian sangat mencabar kerana pemahaman terhadap kursus menjadi sukar tetapi dia perlu membuat ulang kaji sendiri dengan lebih kerap.

Sokongan daripada ibu bapa dan rakan-rakan menjadi pembakar semangat untuknya meneruskan pengajian.

Prinsip “bersusah dahulu, bersenang kemudian” menjadi pegangan utama Narongrith hingga ke penghujung pengajiannya. 

Kecekalan dan usaha gigih Narongrith akhirnya berbaloi apabila dia berjaya memperoleh ijazah dan kini bekerja sebagai konsultan kewangan di MTI Golden Advisory di Sungai Petani. 

Pengalamannya itu membuktikan bahawa ilmu tidak mengenal batas agama dan budaya. Dengan kesungguhan dan sokongan moral, Narongrith menjadi inspirasi kepada ramai pelajar, terutamanya mereka yang berusaha keluar daripada zon selesa untuk menimba ilmu baru. – Dr. Noraini Yusuff

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button