General

Naratif kepimpinan teruji tiga pemimpin negara dan karektor karismatik

SINTOK, 19 November 2024: Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad (IPDM) telah mengambil inisiatif untuk meneruskan penganjuran program Wacana IPDM yang berlangsung baru-baru ini.

Sehubungan itu, Wacana Siri Ke-4 dengan menjemput Dekan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Lutfan Jaes telah direalisasikan bagi menyampaikan perkongsian ilmu bertajuk “Kepimpinan Teruji: Pembelajaran daripada Mahathir, Lee Kwan Yew dan Soeharto untuk Kepimpinan Kalis Masa Hadapan”.

Sebelum program bermula, Pengarah IPDM, Prof. Ts. Dr Ariffin Abdul Mutalib mengalu-alukan panel jemputan dan merakamkan ucapan terima kasih atas kesudian memenuhi undangan daripada IPDM.

Dr. Lutfan berkata, walaupun ketiga-tiga pemimpin tersebut adalah pemimpin di tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia dan merupakan pemimpin alaf ke-20, namun rasional di sebalik gaya kepimpinan mereka masih lagi relevan walaupun kita kini telahpun berada dalam alaf ke-21.

Perjalanan karier pemimpin-pemimpin tersebut telah melalui dan berjaya mengatasi pelbagai halangan, mendepani cabaran, ujian dan krisis dalam dan luar negara sepanjang tempoh perkhidmatannya.

“Konsep ini menggambarkan pemimpin bukan sahaja mampu bertindak dalam situasi biasa, namun menunjukkan daya tahan yang tinggi, semangat juang yang utuh, kebijaksanaan dan keberkesanan dalam menghadapi keadaan yang sukar dan di luar jangkaan.

“Secara ringkasnya, kepimpinan teruji melibatkan gabungan kebijaksanaan, pengalaman, ketahanan diri dan keupayaan untuk memimpin melalui waktu sukar tanpa kehilangan arah atau prinsip,” katanya.

Selain itu, Dr. Lutfan turut menegaskan idea pemerintahan dan gaya kepimpinan berkesan amat perlu diberi tumpuan dalam menerajui proses pembangunan negara. Misalnya, Malaysia mendokong prinsip Rukun Negara dan Indonesia mengamalkan Pancasila.

Dalam naratif tentang kewibawaan Tun Mahathir, Lee Kwan Yew dan Soeharto, Dr. Lutfan turut menceritakan tentang latar belakang, ciri-ciri kepimpinan teruji, dan konteks kepimpinan ketiga-tiga pemimpin negara itu.

Pada penghujung program, moderator program iaitu Prof. Madya Dr. Nur Syakiran Akmal Ismail telah mengajukan soalan-soalan daripada peserta program. Soalan berkisar mengenai persamaan antara ketiga-tiga pemimpin dan pemimpin manakah yang paling hebat diuji ketika zaman kepimpinannya.

Kesimpulannya, sama ada suka atau benci, memuja atau mengeji, tiga tokoh serangkai (Lee Kwan Yew, Mahathir dan Soeharto) ini merupakan tokoh Gergasi Asia. Mereka berkongsi idea kepemerintahan yang hampir sama iaitu mahu melihat masyarakatnya berkembang maju dengan tiga cara iaitu kepesatan pertumbuhan ekonomi, menyederhanakan kehidupan berpolitik dan kesaksamaan sosial terpilih.

Gaya kepimpinan mereka yang berbeza-beza didasari oleh kejayaan memanipulasi nilai-nilai tempatan masyarakat masing-masing. Inilah idea kepemerintahan dan gaya kepimpinan yang sangat asli sifatnya. – Prof. Madya Dr. Azlina Kamaruddin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button