General

Graduan Cina belajar Perbankan Islam kini jadi auditor

SINTOK, 20 November 2024: Program Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam (BIFB) semakin mendapat tempat dalam kalangan pelajar bukan Islam, antaranya graduan Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) Ke-37 baru-baru ini iaitu Wong Man Yee, 23.

Anak sulung yang berasal dari keluarga sederhana memberi sepenuh dedikasinya terhadap pembelajaran dan keyakinannya terhadap masa depan industri kewangan Islam telah membawanya kepada kerjaya sebagai seorang auditor.

Ketika ditemui, Man Yee berkata, pensyarah-pensyarah sangat baik, mereka berusaha untuk memberi penerangan dengan teliti dan berulang kali menggunakan terma yang boleh difahami supaya mereka dapat memahami setiap topik subjek.

Menurutnya, pembelajaran di sini mendorongnya banyak berfikir, bukan sekadar menghafal. Ini cara yang disukai.

“Motivasi untuk menamatkan program BIFB datang daripada keyakinan saya terhadap kelebihan produk kewangan Islam.

“Produk Islam lebih selamat kerana ada panduan syariah. Bila diaudit, kurang masalah kerana ia lebih telus dan tertakluk kepada undang-undang patuh syariah. Ianya penting untuk kelangsungan produk bagi jangka masa panjang,” katanya.

Man Yee turut menekankan kepentingan sikap ingin tahu dalam pembelajaran di mana sewaktu dalam kelas, dia suka sesi soal jawab.

“Kalau malu, kita boleh gunakan teknologi seperti ChatGPT untuk mendapatkan jawapan. Kecerdasan Buatan (AI) bukan untuk buat tugasan, ia adalah alat untuk belajar,” katanya.

Kini bergelar auditor, Wong Man Yee membuktikan bahawa pembelajaran tidak terhenti di universiti.

Dengan nilai dan pengetahuan yang diterapkan semasa pengajian, beliau bersedia untuk terus menyumbang kepada industri kewangan Islam yang semakin berkembang pesat. – Dr Noraini Yusuff

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button