General

Pendaki UUM akan pacak bendera di Everest Base Camp sempena sambutan UUM 40 tahun

Gambar Mohd Fuad Hamid

KUALA LUMPUR, 2 Disember 2024: Menutup aktiviti sempena sambutan 40 tahun Universiti Utara Malaysia (UUM), sekumpulan staf dan pelajar universiti akan memacakan bendera UUM di gunung tertinggi dunia, Everest di Kathmandu, Nepal pada 14 hingga 28 Disember 2024.

Aktiviti itu simbolik kepada pencapaian cemerlang UUM sebagai universiti pengurusan terkemuka di peringkat nasional dan antarabangsa.

Duli Yang Amat Mulia Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Ekspedisi 4 Dekad UUM di Eager Tropical Adventure, Ampang.

Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, ekspedisi ke Everest itu bukan sahaja menguji ketahanan peserta dengan suhu yang agak sejuk, tetapi juga akan mendokumenkan hasil penawanan Everest Base Camp.

Menurutnya, ekspedisi pendakian berkenaan mampu melatih semangat kepimpinan dalam penglibatan sosial dan memperkukuhkan etika ke arah budaya yang lebih cemerlang, selain melaksanakan pendokumentasian sepanjang perjalanan pendakian dalam bentuk ‘mobile journalism’ (MOJO) dan rakaman ‘footage’.

Beliau percaya dengan usaha dan hasil latihan keras yang mereka lalui ini bakal membawa pulang kandungan pendakian seperti yang dicita-citakan untuk kajian dan juga misi yang seterusnya, selepas ekspedisi ini berakhir.

“Kita juga percaya pelajar UUM yang menyertai akan dapat meningkatkan kemahiran insaniah dan kemahiran asas yang mampu meletakkan nama baik UUM di peta dunia.

“Pasukan ini akan menghasilkan karya dan kandungan kreatif, antaranya penghasilan ‘virtual reality’ (VR), dokumentari pendek sebagai panduan digital bagi pendaki masa hadapan serta dokumentasi buku, travel log dan kandungan kreatif berhubung sukan mendaki,” katanya.

Pasukan ekspedisi ini akan berlepas ke Kathmandu, Nepal pada 14 Disember dan dijangka pulang ke tanah air pada 28 Disember ini.

Ekspedisi ini akan diketuai Dekan Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA), Prof. Madya Dr. Adzrool Idzwan Ismail.

Turut bercemar hadir ialah Duli Yang Amat Mulia Che Puan Nur Julie Ariff, Tunku Puan Mahkota Kedah.

Selain itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button