General

UUM dianugerahkan Sijil Pematuhan Sistem Perakaunan Standard bagi Agensi Kerajaan (SAGA)

KLANG, 2 Disember 2024: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima anugerah Sijil Pematuhan Sistem Perakaunan Standard bagi Agensi Kerajaan (SAGA) pada Majlis Anugerah Sijil Pematuhan SAGA (MASS) 2024 di Hotel Wyndham Acmar Klang pada 28 November lalu.

Anugerah tersebut disampaikan oleh Akauntan Negara Malaysia, Nor Yati Ahmad kepada Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan dan Bursar UUM, Abdul Roni Baharom.

UUM adalah salah satu daripada 14 agensi kerajaan yang terdiri daripada badan berkanun Persekutuan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dianugerahkan Sijil Pematuhan SAGA pada tahun ini.

Pencapaian ini adalah hasil daripada kejayaan UUM dalam memenuhi piawaian yang ditetapkan melalui sistem kewangan FIMS. Pematuhan SAGA ini diiktiraf melalui Lawatan Penilaian Jawatankuasa Pematuhan SAGA yang telah diadakan pada 12 September lalu yang melibatkan panel daripada Jabatan Akauntan Negara, Jabatan Audit Negara, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Dalam ucapan Nor Yati menyatakan bahawa sejak tahun 2010, sebanyak 26 peratus iaitu 115 agensi daripada 434 agensi kerajaan telah dianugerahkan Sijil Pematuhan SAGA.

Beliau juga menegaskan bahawa JANM akan terus melakukan semakan semula pematuhan di agensi yang telah menerima sijil tersebut untuk memastikan setiap kriteria sentiasa dipatuhi dan kualitinya terus terpelihara.

UUM merupakan salah satu daripada tiga universiti awam yang berjaya meraih Sijil Pematuhan SAGA bagi tahun 2023 dan 2024, bersama-sama dengan Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Malaysia Sabah.

Pencapaian ini membuktikan komitmen UUM dalam mengukuhkan sistem kewangannya, selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan ketelusan dan kecekapan dalam pengurusan kewangan agensi-agensi kerajaan di Malaysia.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh wakil-wakil daripada Jabatan Bendahari, UUMIT serta Jabatan Hal Ehwal Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (JHEPPI) UUM.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button