Skuad Ihsan Madani UUM digerak bantu mangsa banjir Kedah
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 2 Disember 2024: Skuad Ihsan Madani Universiti Utara Malaysia (UUM) digerakkan untuk membantu mangsa banjir di sekitar Kedah terutamanya di rumah kakitangan dan pelajar yang terlibat dalam musibah berkenaan.
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan melancarkan skuad berkenaan yang turut dianggotai Jabatan Sumber Manusia UUM, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), U Riders, dan staf UUM di bangunan Canselori, pagi tadi.
Inisiatif itu bertujuan membantu warga UUM dan komuniti sekitar yang terjejas akibat banjir besar yang melanda baru-baru ini.
Ketua Unit Kebajikan JSM, Mohd Yusnaidi Md. Sabri, berkata misi bantuan itu memberi fokus kepada bantuan kemanusiaan seperti pengagihan barangan keperluan asas, sokongan moral kepada mangsa, dan membantu kerja-kerja pembersihan di kawasan-kawasan yang terjejas, khususnya di sekitar Jitra dan Changlun.
“Sebahagian daripada bantuan yang disalurkan adalah hasil daripada Sumbangan Tabung MKSK yang diwujudkan untuk menyokong usaha membantu mangsa banjir.
“Usaha ini akan diteruskan oleh UUM dari semasa ke semasa bagi membantu meringankan beban warga UUM yang terkesan akibat banjir,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Skuad Ihsan Madani.
Turut hadir dalam majlis berkenaan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Russayani Ismail dan Pendaftar, Ahmad Rasidi Abdullah.
Hujan berterusan sejak beberapa hari lalu telah menyebabkan jumlah mangsa banjir di beberapa daerah di Kedah meningkat dengan mendadak, termasuk kawasan berhampiran kampus UUM.
Pelajar universiti turut terkesan apabila kelas pembelajaran terpaksa dilaksanakan secara dalam talian mulai 29 November hingga 5 Disember ini.
Ustaz Yusnaidi berkata, penubuhan skuad ihsan madani dapat memperkukuhkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan warga universiti serta mengeratkan hubungan antara warga UUM yang memerlukan sokongan dalam situasi bencana. – Nor Maisarah Mohamed Ali (Pelatih dari UiTM Shah Alam)