General

50 tahun hubungan Malaysia-China rai persahabatan dan kerjasama erat

Gambar Mohd Fuad Hamid

KUALA LUMPUR: 50 tahun hubungan Malaysia-China merupakan peristiwa penting bagi persahabatan dan kerjasama erat antara kedua-dua negara.

Sempena sambutan 50 tahun Hubungan Malaysia dan China, Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengadakan forum bagi mengupas isu tersebut, hari ini.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abd Kadir dalam ucaptama beliau berkata, program anjuran OYAGSB berkaitan hubungan Malaysia dan China ini sangat bersejarah di mana ia bermula pada 1974 dengan lawatan Perdana Menteri ketika itu Tun Abdul Razak yang membuka lembaran baru ketika dunia berhadapan dengan perang dingin di seluruh dunia.

Menurutnya, forum ini adalah untuk memberi perspektif kepada masyarakat dapat manfaat daripadanya kerana hubungan 50 tahun sangat signifikan terutama dalam bidang perdagangan yang begitu pesat sekali dan China antara rakan dagang terbesar untuk Malaysia.

Katanya, di saat berlaku pertembungan di dunia barat Union of Soviet Socialist Republics (USSR) atau Soviet Union dan sekutunya, wujud perang ideologi yang berpanjangan.

“Ketika itu juga muncul China dengan kekuatan ekonomi dan teknologi dan mungkin juga ketenteraan.

“Kuasa yang ada sekarang bukan hanya satu sisi tetapi banyak. Dunia bukan bertentang dengan ideologi tetapi geopolitik dan geoekonomi dunia,” katanya ketika merasmikan forum berkenaan.

Dr. Zambry berkata, hubungan Malaysia dengan Amerika Syarikat sudah lama dalam aspek perdagangan dan pada masa sama hubungan dengan China juga begitu lama, 50 tahun.

Menurutnya, kerajaan ingin meneruskan hubungan dengan semua negara atas dasar persahabatan dan tidak mahu bermusuh dengan mana-mana pihak dengan mengekalkan dasar neutral dan kelompok tengah politik (middle ground).

Katanya, Malaysia mengambil kesempatan membina hubungan baik dengan China dengan saling menghormati antara satu sama lain.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, forum ini diyakini dapat memberi idea dan pandangan yang pelbagai, seterusnya memberi manfaat besar kepada semua peserta.

Menurutnya, forum ini bertujuan membincangkan masa depan hubungan diplomatik antara kedua negara dan beliau percaya forum ini dapat meneroka peluang mengukuhkan hubungan strategik antara kedua pihak.

“Saya harap forum ini dapat memacu kerjasama yang lebih erat terutama dalam bidang pendidikan, ekonomi dan kebudayaan,” katanya.

Forum 50 Tahun Hubungan Malaysia-China dikendalikan oleh moderator, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mohd Azizuddin Mohd Sani yang membincangkan tentang kerjasama dan potensi antara Malaysia dan China.

Seramai tiga panel dijemput iaitu mantan Penyandang Kursi Pengajian Melayu, Beijing Foreign Studies University (BFSU), Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan; Ketua Pegawai Eksekutif Technology Park Malaysia (TiPM)/MRANTI, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff dan Pensyarah Kanan Institute of China Studies, Universiti Malaya, Dr. Ling Tek Soon.

Dr. Awang mengupas tentang perkembangan hubungan diplomatik Malaysia-China dari aspek sudut ketemadunan seperti sejarah awal hubungan alam Melayu dan China, peningkatan hubungan alam Melayu dan China serta hubungan alam Melayu dan China mengangkat martabat Bahasa Melayu.

Sementara Dr. Rais mengupas isu teknologi, ekonomi dan geopolitik Malaysia dan China di mana beliau menerangkan bahawa inovasi menjadi faktor penting dalam hubungan Malaysia-China.

Dr. Ling pula membincangkan tentang apakah kepentingan hubungan Malaysia dan China dari aspek ekonomi seperti pelaburan China ke Malaysia.

Kesimpulannya, forum ini melihat hubungan Malaysia-China dari aspek politik di mana China boleh menjadi rakan Malaysia dan hubungan diplomatik sebegini akan berterusan, selain inovasi perlu digarap dalam hubungan dengan China, pelaburan dan wujud peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia serta manfaat ilmu kepada IPT secara umumnya.

Forum diteruskan dengan sesi soal jawab antara moderator bersama panel dan juga peserta, seterusnya pelancaran buku terbitan UUM Press iaitu Model Penilaian Kurikulum Pendidikan Islam Abad 21 Berteraskan Model Standard Guru Malaysia, Innovative Teaching Practices in Learning STEM, Pengantar Undang-undang Antarabangsa, Rasuah dan Integriti: Kupasan Lensa Terpilih dan Transformasi Perkhidmatan Perpustakaan Melalui Amalan Six Sigma.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button