Amanat 2026 KPT tekankan disiplin pelaksanaan, AI sebagai nadi transformasi pendidikan tinggi
Gambar Mohd Fuad Hamid
PUTRAJAYA, 20 Januari 2026: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menggariskan tahun 2026 sebagai fasa kematangan kepimpinan yang menuntut disiplin pelaksanaan, keberanian membuat keputusan serta kesanggupan memikul tanggungjawab dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menegaskan bahawa Amanat 2026 bukan lagi tertumpu kepada idea baharu, sebaliknya memberi penekanan kepada pelaksanaan dasar secara tuntas dan berimpak tinggi, selari dengan aspirasi menjadikan KPT sebagai “Akal Budi Nusa” iaitu pusat sintesis ilmu dan peradaban yang menyeimbangkan kecerdasan akal dengan keluhuran budi.
Menurutnya, universiti bukan sekadar medan penghasilan ilmu dan tenaga kerja, malah berperanan sebagai ejen perubahan serta pembina bangsa yang menghubungkan tradisi dengan perubahan, idealisme dengan realiti kehidupan.
Mengimbas perjalanan tiga tahun kepimpinan, beliau menjelaskan KPT telah melalui evolusi kesedaran melibatkan kefahaman terhadap perubahan zaman, pembangunan insan serta amanah kepimpinan.

Amanat 2024 memberi fokus kepada cabaran dunia pasca-normal, manakala Amanat 2025 meneliti krisis makna dan peralihan generasi dalam era kecerdasan buatan (AI).
Amanat 2026 pula menandakan peralihan kepada fasa implementasi yang menyeluruh.
Dalam tempoh 2025, KPT merekodkan pelbagai pencapaian termasuk penganjuran Festival of Ideas (FOI) Putrajaya, Forum Ilmuwan MADANI, pelaksanaan Program SULUNG, kejayaan lima IPTA tersenarai dalam 10 universiti terbaik ASEAN serta pengukuhan kedudukan Malaysia sebagai Hab Pendidikan Global.

Bagaimanapun, Dr. Zambry berkata, KPT turut mengakui beberapa isu berbangkit yang perlu ditangani secara tuntas, antaranya persepsi keadilan sistem kemasukan universiti, kebolehpasaran graduan, kekangan peruntukan, isu tadbir urus, budaya toksik dalam institusi serta cabaran penarafan universiti dalam kerangka ekonomi liberal baharu.
Bagi mendepani cabaran tersebut, Amanat 2026 menggariskan tujuh fokus utama dan 10 agenda strategik, antaranya pelaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 sebagai dokumen hidup berteraskan pendekatan kolaboratif, berpusatkan kemanusiaan dan pembinaan negara bangsa.
Turut diberi penekanan ialah peranan akademia sebagai pembina bangsa, kebajikan dan kemenjadian siswa melalui pengenalan Academic Bank Credits (ABC), tadbir urus universiti yang lebih tangkas, pemerkasaan POLYCC sebagai peneraju pendidikan teknikal dan profesional, pengukuhan jaringan alumni menerusi inisiatif Alumni Back to Campus serta pemposisian AI sebagai nadi pemboleh daya utama transformasi pendidikan tinggi.

Mengakhiri amanat, beliau menyeru seluruh warga pendidikan tinggi agar mengamalkan cara kerja baharu yang menekankan pengurangan kompleksiti, percepatan pelaksanaan dan fokus kepada impak, demi merealisasikan tekad menjadikan pendidikan tinggi Malaysia sebagai tonggak Akal Budi Nusa.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah UUM, Tan Sri Dr. Mazlan Yusoff; Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan timbalan-timbalan naib canselor serta ahli Majlis Perwakilan Pelajar UUM.



