Dana RM1.5 juta realisasikan Pusat Pemulihan Anak Istimewa di UUM
Gambar Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 13 April 2026: Setiap pagi, rutin seorang ibu yang mempunyai anak istimewa atau orang kurang upaya (OKU) tidak sama seperti ibu bapa lain kerana mereka bukan sekadar bersiap untuk bekerja, malah perlu menguruskan keperluan anak istimewa tersebut.
Seorang ibu yang juga Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Dr. Muna Maryam Azmy, memulakan hari dengan satu tanggungjawab yang lebih besar iaitu memastikan anak istimewanya, Zaydan Anaqi Zaihasri Asraf berada dalam keadaan selamat sebelum beliau memulakan tugas akademik.

Di celah kesibukan kuliah, mesyuarat dan penyelidikan, Dr. Muna Maryam tetap mencuri masa setiap tengah hari untuk menjemput anaknya dari taska biasa. Namun di sebalik senyuman yang ditunjukkan di tempat kerja, tersimpan kebimbangan yang tidak pernah hilang.
“Kadang-kadang saya risau sampai bila dia boleh terus berada di tempat yang bukan khusus untuk anak istimewa,” luahnya dengan nada tenang, namun sarat emosi seorang ibu yang sentiasa memikirkan masa depan anaknya.
Kisah ini bukan milik Dr. Muna Maryam seorang. Di UUM sendiri terdapat lebih 83 keluarga dalam kalangan staf dan komuniti kampus yang mempunyai anak OKU, termasuk Pustakawan, Noorfauziati Mat Yatim yang sebelum ini terpaksa bergantung kepada ahli keluarga untuk menjaga anaknya, Muhammad A’fif Mohd Husni Mubarokh, setiap hari.
“Dengan rasa berat hati saya meninggalkannya, tetapi tiada pilihan ketika itu,” katanya mengimbau detik yang mencabar sebagai ibu bekerja.

Namun kini, situasi itu akan mula berubah apabila UUM menerima dana sebanyak RM1.5 juta untuk menubuhkan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) yang akan dikenali sebagai Pusat Intervensi Mesra dan Pemulihan Anak-Anak Istimewa UUM (PPDK IMPIAN UUM).
Naib Canselor, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, penubuhan PPDK IMPIAN UUM yang dijangka mula beroperasi dalam tahun ini akan memberi nilai tambah signifikan kepada warga universiti, khususnya sebagai pusat sokongan kepada staf yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas.
“Kita berhasrat memperluaskan perkhidmatan ini kepada warga luar UUM apabila semua infrastruktur dan ekosistem keseluruhan PPDK IMPIAN UUM siap dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat sekitar.
“Selain berfungsi sebagai pusat komuniti, PPDK IMPIAN UUM turut menyokong aspirasi universiti dalam membentuk persekitaran kampus yang inklusif, mesra dan sejahtera untuk semua warga universiti,” katanya.

Bagi Dr. Muna Maryam dan ramai lagi ibu bapa lain, PPDK IMPIAN bukan sekadar sebuah pusat. Ia adalah ruang lega, sebuah tempat di mana mereka boleh bekerja dengan tenang kerana mengetahui anak-anak mereka berada di tangan yang memahami dan prihatin.
Inisiatif ini turut mencerminkan komitmen Universiti Utara Malaysia dalam memperkukuh agenda inklusiviti dan kesejahteraan komuniti, menjadikan universiti bukan sekadar institusi ilmu, tetapi juga ruang yang membina kehidupan. – Noor Zafiera Ahmad Idris (Pelajar Pelatih dari Politeknik METrO Tasek Gelugor)



