General

Dapur Siswa MADANI UUM terima suntikan RM1.2 juta, perkasa kebajikan dan inovasi pelajar

Gambar Muhammad Shamsul Shafie

SINTOK, 13 April 2026: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bersetuju menyuntik dana sebanyak RM1.2 juta bagi menjayakan inisiatif Universiti Utara Malaysia (UUM) merealisasikan program Dapur Siswa MADANI dengan memanfaatkan teknologi retort.

Program yang direka secara holistik ini bukan sahaja bertujuan menangani isu kelaparan di kampus, malah berfungsi sebagai ekosistem inovatif untuk memperkasakan kemahiran graduan, memupuk kerjasama universiti-industri dan menyediakan peluang pekerjaan kepada graduan serta komuniti setempat.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman, dalam lawatan ke dapur berpusat di Inasis Proton UUM, melahirkan rasa kagum dan menyerahkan cek cura sebanyak RM324,000 bagi fasa pertama pelaksanaan.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, keunikan utama Dapur Siswa MADANI UUM terletak pada penggunaan teknologi retort, iaitu makanan dimasak secara pukal di Dapur Pusat (Hab) dan melalui proses pensterilan suhu tinggi yang membolehkan hidangan bertahan sehingga satu tahun tanpa bahan pengawet.

Menurutnya, makanan ini kemudiannya diedarkan ke Dapur Satelit di Inapan Siswa (Inasis) melalui model ‘Hab dan Jejari’.

“Di sini, pelajar hanya perlu memanaskan hidangan menggunakan ketuhar atau pengukus sebelum dinikmati dalam keadaan panas, sekali gus menjimatkan kos logistik dan masa.

“Dengan cara ini, siswa kita khususnya pelajar daripada kumpulan B40 ‘tidak lapar lagi’ dan sukarelawan siswa yang membantu akan dibayar melalui OCJ atau ‘on campus job’,” katanya.

Lebih menarik, Dapur Siswa MADANI diangkat sebagai platform latihan industri. Pelajar diberi peluang mengendalikan operasi teknikal, pengurusan logistik serta memastikan piawaian halal dipatuhi.

“Pengalaman praktikal ini meningkatkan nilai kebolehpasaran graduan, menjadikan mereka lebih berdaya saing berbanding rakan sebaya yang hanya bergantung kepada teori di dewan kuliah,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Inasis Proton, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin yang juga Penyelaras Dapur Siswa MADANI berkata, model pembiayaan hibrid telah diwujudkan dengan menggabungkan peruntukan KPT, universiti, sumbangan sektor korporat, dan paling menyentuh hati, caruman sukarela daripada kakitangan universiti sendiri.

“Semangat ‘Kampus Kita, Tanggungjawab Bersama’ ini menjadi tunjang kejayaan program ini.

“Dapur Siswa MADANI membuktikan bahawa kebajikan dan pendidikan boleh bergerak seiring, sekali gus berpotensi menjadi model rujukan kepada universiti di peringkat global,” katanya. – Noor Zafiera Ahmad Idris

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button