General

IBS perkukuh kefahaman asas Ad-Deen dan kewangan Islam

Gambar Nurul Alia Zakri

SINTOK, 4 Mac 2026: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Program Pemantapan Asas Syariah dan Kewangan Islam di Lab 1, Perpustakaan Sultanah Bahiyah dengan kehadiran seramai 30 pensyarah dan warga akademik IBS.

Dekan IBS, Prof. Dr. Selamah Maamor berkata, program ini bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman asas Ad-Deen dan kewangan Islam bagi pensyarah baharu serta staf akademik IBS.

Menurutnya, selain itu ia juga bagi merapatkan saf IBS dari segi Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah berkenaan Tauhid, Fiqh dan Tasawuf agar pensyarah di IBS berpegang teguh dengan ajaran yang benar dan murni, serta memelihara kehidupan berorganisasi yang positif.

“Program ini telah lama dirancang dan akhirnya berjaya dilaksanakan. Penganjuran ini amat signifikan dalam usaha memperkukuh kefahaman pensyarah IBS yang datang daripada pelbagai latar belakang akademik.

“Program ini akan diadakan secara bersiri bagi memastikan kefahaman warga akademik terhadap prinsip dan aplikasi Syariah terus diperkasa selaras dengan identiti dan aspirasi IBS,” katanya.

Program ini menampilkan penceramah jemputan, Dr. Amirul Haqeem, Pakar Kewangan Islam yang memiliki Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Durham University, United Kingdom.

Beliau telah membentangkan dua fokus utama iaitu Asas Ad-Deen (Tauhid, Fiqh, Tasawuf) dan Sejarah Perbankan Islam.

Sesi pertama memperkenalkan asas Ad-Deen yang meliputi Tauhid sebagai tunjang akidah, Fiqh sebagai panduan hukum syariah dan Tasawuf sebagai elemen pembinaan akhlak serta penyucian jiwa. Perbincangan menekankan keseimbangan antara kepercayaan, amalan dan nilai rohani dalam membentuk Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh.

Selain itu, aplikasi konsep ini dalam kehidupan seharian, bidang pendidikan serta pengurusan organisasi turut dihuraikan secara praktikal. Kursus ini secara khusus membantu pensyarah baharu memahami peranan ilmu agama dalam membentuk sahsiah profesional, integriti kerja dan budaya akademik yang selari dengan prinsip Syariah dan nilai Islam.

Sesi kedua pula menelusuri perkembangan sistem kewangan Islam sejak zaman Uthmaniah, termasuk prinsip muamalat, institusi kewangan awal dan evolusi amalan perdagangan Islam. Perbincangan turut menyentuh kebangkitan semula perbankan Islam moden pada abad ke-20 serta peranan institusi kewangan Islam dalam pembangunan ekonomi global.

Penekanan juga diberikan kepada perkembangan kewangan Islam di Malaysia serta kaitannya dengan sistem kewangan kontemporari, dasar ekonomi dan usaha memperkukuh ekonomi ummah melalui pendekatan kewangan patuh Syariah yang lestari dan beretika.

Secara keseluruhannya, program ini disifatkan sangat bermakna dalam memperkukuhkan jati diri dan kefahaman Syariah dalam kalangan pensyarah IBS, sekali gus menyokong agenda pembangunan ilmu dan profesionalisme yang berteraskan nilai-nilai Islam, serta memajukan IBS ke hadapan. – Prof. Dr. Selamah Maamor dan Dr. Amirul Haqeem Abd Ghani

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button