Kad Touch N Go UUM-KWSP galak warga UUM menabung dan jadi ahli KWSP
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 10 Disember 2024: Pelancaran Kad Touch N Go UUM-KWSP menjadi platform untuk menggalakkan warga Universiti Utara Malaysia (UUM) menabung dan menjadi ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, objektif ini adalah untuk memupuk kesedaran literasi kewangan dalam kalangan masyarakat, malah berharap boleh diwajibkan kepada semua pelajar untuk menggunakan kad tersebut.
Menurutnya, KWSP ditubuh untuk mengurus simpanan wajib persaraan pekerja sektor swasta dan bukan pencen sektor awam telah dikembangkan dalam menggalakkan budaya simpanan persaraan secara sukarela merentasi pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, UUM mempunyai kepakaran dan sumber untuk bersama KWSP dalam merancakkan budaya perancangan kewangan dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar dan staf UUM.
“Penglibatan dalam program seperti treasure hunt, pameran poster dan tayangan video literasi kewangan serta pelbagai aktiviti menjadi alternatif terbaik dalam mendedahkan pelajar dan masyarakat mengenai teknik pengurusan kewangan,
“Kehadiran rakan industri seperti FWD, Lembaga Zakat Negeri Kedah, KWSP, Tabung Haji, Amanah Saham Nasional Berhad dan lain-lain membuktikan sokongan berterusan untuk kerjasma strategik antara universiti dan industri dalam memberi nilai tambah dan nilai kualiti mahasiswa khususnya di UUM,” katanya dalam teks yang dibacakan oleh Penolong Naib Canselor UUM COB, Prof. Dr. Ram Al Jaffri Saad pada Majlis Perasmian Minggu Literasi Kewangan dan Pelancaran Kad Touch N Go UUM-KWSP di Foyer Perpustakaan Sultanah Bahiyah, sebentar tadi.
Beliau berkata, semoga usaha yang dilakukan ini mampu menghasilkan sesuatu yang memberangsangkan buat negara dan mendapat keberkatan Allah.
Sementara itu, Pengarah KWSP Wilayah Utara, Jeffary Mohamed Isa berkata, KWSP telah menjalin kerjasama dengan UUM pada 2023 untuk menyokong pendidikan dan pembangunan aktiviti dalam bidang kewangan, semenjak itu beberapa program berkaitan perancangan persaraan telah diadakan di pusat pengajian.
Menurutnya, pada tahun ini Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) telah menjalin kerjasama dengan KWSP bagi memberi kesedaran kepada ahli KWSP mengenai kepentingan perlindungan takaful menerusi produk FWD Takaful.
Katanya, KWSP turut memperkenalkan i-Saraan, satu inisiatif mencarum di bawah caruman sukarela yang memberi peluang kepada ahli yang bekerja sendiri tanpa pendapatan tetap serta pekerja sektor ekonomi gig menerima insentif khas daripada kerajaan bagi tujuan persaraan tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan.
“Saya berharap hubungan antara KWSP dan UUM akan berterusan pada masa akan datang dan dengan jumlah pelajar UUM seramai 30,000 dapat didaftarkan dengan KWSP yang mempunyai banyak manfaat.
“Jadikan ia satu peluang terbaik kepada warga UUM sama ada pelajar atau staf. Kad Touch N Go ini diberi secara percuma bagi mereka yang mendaftar sebagai ahli KWSP dan menerima minima RM30 one-off.
“Kad ni dijalankan bersama universiti lain juga dan akan jadi daya penarik untuk mendaftar dan buat tabungan di masa hadapan,” katanya.
Hadir sama, Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor dan pegawai-pegawai kanan universiti.