Misi Skuad Ihsan MADANI INASIS Tradewinds beri bantuan dan sokongan moral
Gambar Muhammad Alfian Haikal Hafidzi
SINTOK, 9 Disember 2024: Skuad Ihsan MADANI INASIS Tradewinds telah menjalankan misi bantuan untuk membantu pelajar-pelajar INASIS Tradewinds, Universiti Utara Malaysia (UUM) yang terjejas akibat bencana banjir di negeri Kedah.
Presiden JKPSRS INASIS Tradewinds, Nur Damia Suefea Dzulfakhar berkata, skuad ini menyampaikan bantuan berupa barangan keperluan asas, selain memberi sokongan moral bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pelajar dan keluarga mereka.
Menurutnya, misi bantuan ini mencerminkan nilai-nilai kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan komuniti INASIS Tradewinds serta menunjukkan usaha bersama untuk membina ketahanan dan kebaikan sosial dalam kalangan ahli komuniti.
Katanya, Skuad Ihsan MADANI INASIS Tradewinds telah menjalankan misi bantuan yang melibatkan lawatan ke tiga kawasan yang terjejas teruk oleh banjir iaitu Jitra, Changlun dan Anak Bukit. Sepanjang lawatan tersebut, ahli skuad mengambil kesempatan untuk berinteraksi dengan mangsa banjir, bertanyakan khabar, serta memberikan sokongan moral kepada mereka.
“Kami meluangkan masa berbual mesra dengan ahli keluarga mangsa bagi memastikan mereka tidak berasa terpinggir dan mendapat perhatian yang sewajarnya. Kehadiran skuad ini menunjukkan bahawa mereka tidak keseorangan dalam menghadapi ujian ini.
“Dengan kerjasama erat antara kepimpinan institusi dan pelajar, bantuan yang disalurkan tidak hanya berbentuk material tetapi juga sokongan emosi dan moral. Misi bantuan ini bukan sahaja memperkukuhkan ikatan ukhuwah dalam kalangan warga INASIS Tradewinds, malah turut menonjolkan komitmen mereka dalam menjayakan nilai kemanusiaan dan keprihatinan sosial dalam menghadapi musibah,” katanya.
Sementara itu, Pengetua INASIS Tradewinds, Dr. Asma Mat berkata, bantuan dan kunjungan ini memberikan impak yang besar kepada keluarga pelajar.
Menurutnya, pihaknya memahami betapa sukar situasi ini, justeru mereka berada di sini bukan hanya untuk memberi bantuan, tetapi juga untuk memberi sokongan moral.
Katanya, mereka ingin pastikan semua pelajar dan keluarga yang terjejas tidak keseorangan.
“Semoga anda semua diberi kekuatan untuk melalui ujian ini. Kami sentiasa mendoakan kesejahteraan dan kejayaan kalian,” katanya.
Bantuan dari Skuad Ihsan MADANI membuat Siti Fatini Mohd Tahir dari Anak Bukit, Alor Setar berasa lega kerana bukan hanya barang-barang yang diberikan, tapi sokongan dan perhatian dari semua pihak buat mereka rasa dihargai.
“Tidak terungkap dengan kata-kata betapa bersyukurnya saya tetapi yang pasti, niat murni mereka akan sentiasa ingat kebaikan yang telah diberikan. Semoga Allah membalas segala usaha Skuad Ihsan MADANI INASIS Tradewinds,” katanya.
Turut dibantu, Mohamad Azrul Mohd Shukri di Changlun dan Norzufikha Mat Khazim di Jitra.
Hadir sama, Timbalan Pengetua INASIS Tradewinds, Meor Muhammad Afif Aiman Abu Bakar dan pemimpin pelajar dari Jawatankuasa Kepimpinan & Pembangunan Siswa dan Residen Siswa (JKPSRS) INASIS Tradewinds yang terdiri daripada barisan Majlis Tertinggi, Biro Keselamatan, Kebajikan dan Kesejahteraan, Residen Siswa dan Biro Informasi dan Penerbitan.
Program misi bantuan Skuad Ihsan MADANI INASIS Tradewinds ini menunjukkan satu contoh teladan yang sangat positif dalam menggalakkan semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga INASIS Tradewinds.
Melalui program ini, bukan sahaja mangsa banjir mendapat bantuan segera dalam bentuk barangan keperluan asas, tetapi juga sokongan moral yang penting bagi mengurangkan beban emosi yang mereka alami. Kehadiran anggota skuad memberi impak besar dalam menunjukkan kesatuan dan komitmen institusi terhadap kebajikan pelajarnya.
Secara keseluruhan, misi ini telah memperkukuhkan lagi hubungan antara warga INASIS Tradewinds dan masyarakat, serta mengingatkan kita bahawa semangat perpaduan dan tolong-menolong adalah kunci dalam menghadapi segala ujian kehidupan. – Akmal Hariz Shahril